Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Opor ayam, sambal Goreng: pesakit NUH dihidangkan jamuan khas Aidilfitri

Hospital Universiti Nasional (NUH) menyediakan jamuan istimewa Hari Raya yang disajikan pada malam Raya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Sesudah takbir Hari Raya bergema, pasti ramai yang sibuk meneruskan persiapan terakhir seperti memasak juadah untuk keesokan harinya.

Namun, ada di antara kita yang terpaksa menyambut Hari Raya di hospital disebabkan masalah kesihatan.

Untuk memastikan para pesakit dapat sedikit sebanyak merasakan suasana Aidilfitri, Hospital Universiti Nasional (NUH) menyediakan jamuan istimewa Hari Raya yang disajikan pada malam Raya.

BERAYA BERSAMA DI HOSPITAL: CITARASA PESAKIT DIAMBIL KIRA

Usaha NUH untuk menceriakan para pesakit pada Hari Raya sudah dimulakan lebih lima tahun lalu. Sejak itu, sekitar 180 set istimewa Hari Raya dihidangkan kepada para pesakit setiap tahun.

Ini termasuk pesakit bukan Melayu/Islam memandangkan kesemua pesakit diberi peluang untuk memilih hidangan khas tersebut daripada senarai makanan yang disediakan dalam menu.

Menurut Cef Kanan NUH, Teguh Muntarno, menu khas Hari Raya itu dimasak berdasarkan citarasa para pesakit Melayu.

Berbekalkan pengalamannya selama 17 tahun dalam bidang masakan, Encik Teguh yang sudah berkhidmat di NUH sejak lapan tahun lalu, sentiasa mempelbagaikan menu Hari Raya tahun demi tahun.

“Menu ini kami ubah setiap tahun. Kami meminta maklum balas daripada pesakit-pesakit melalui tinjauan. Dengan itu, inspirasi menu istimewa ini datang daripada pesakit sendiri. Tujuan kami ialah untuk memastikan mereka gembira dan dapat rasa beraya bersama kami, bukan bersendirian di hospital,” beliau memberitahu BERITAMediacorp.

Juadah istimewa ini terbukti disambut baik oleh para pesakit NUH seperti Encik Rashid Shariff, 57 tahun.

Beliau dimasukkan ke hospital sejak sebulan lalu kerana diserang angin ahmar ringan.

“Ada sambal goreng, ketupat. Kalau hari biasa memang tidak dapat. Ini baik untuk mereka yang berjauhan daripada keluarga pada Hari Raya,” kata Encik Rashid.

PEMAKANAN KHUSUS SETIAP PESAKIT TETAP JADI KEUTAMAAN

Meskipun citarasa para pesakit penting bagi jamuan khas tersebut, makanan yang dihidangkan masih perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan hospital.

Dengan setiap pesakit mempunyai masalah kesihatan yang berbeza-beza, bahagian makanan yang dihidangkan kepada mereka juga berlainan.

Menu istimewa Hari Raya Aidilfitri tahun ini. (Gambar: NUH)

Menurut Cik Alice Tong, pakar diet kanan di NUH, penjagaan ketat pemakanan itu dipastikan khusus bagi mereka yang perlu mengamalkan diet khas.

“Seperti para pesakit kencing manis, kami harus memastikan bahawa tiada gula dalam makanan mereka. Jadi kami tidak akan menghidangkan mereka pencuci mulut seperti bubur pulut hitam yang tersenarai dalam menu tahun ini,” Cik Tong memberitahu BERITAMediacorp.

Dari segi persiapan makanan secara keseluruhannya pula, sesetengah bahan yang digunakan merupakan pengganti kepada yang biasa digunakan dalam masakan Melayu. Contohnya, Encik Teguh menggunakan susu kurang lemak bagi menggantikan santan apabila beliau memasak lauk Opor Ayam dalam menu Hari Raya kali ini.

Juadah istimewa buat para pesakit di NUH sebenarnya tidak terhad kepada Hari Raya Aidilfitri sahaja. Malah menu khas disediakan pada musim perayaan yang lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ZZ/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan