Ramadan 2018

Images
  • project positive4
    (Gambar-gambar: Petikan dari Youtube)

MENDAKI rintis Project Positive demi dorong keluarga pendapatan rendah tingkat kemahiran

SINGAPURA: Satu inisiatif baru bagi menggalakkan keluarga berpendapatan rendah meningkatkan kemahiran dan meneruskan pembelajaran sepanjang hayat, dirintis pada bulan Ramadan tahun ini.

Program yang dinamakan Project Positive itu menyaksikan seramai 92 peserta mengambil bahagian dalam kursus latihan kemahiran yang ditawarkannya.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mendedahkan inisiatif tersebut semasa berucap di acara Perjumpaan Hari Raya Menteri anjuran beliau dan para Anggota Parlimen Melayu di Hotel One Farrer hari ini (28 Jun). Beliau mengetengahkan Project Positive sebagai antara daya usaha baik yang dijalankan badan-badan tunggak dalam masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Encik Masagos menekankan bahawa badan-badan tunggak yang beliau sifatkan sebagai M3, yang terdiri daripada MUIS, MENDAKI dan MESRA (Majlis Ugama Islam Singapura, Yayasan MENDAKI, Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat).

"Dengan menawarkan kursus seperti pertukangan, membuat roti dan menjahit, para peserta diberikan peluang untuk mempelajari kemahiran asas yang mereka boleh manfaatkan untuk menambah pendapatan keluarga," kata Encik Masagos tentang Project Positive.


Cik Marini Abdul Majid, salah seorang peserta kursus latihan kemahiran di bawah Project Positive. (Gambar: Youtube)

MASAGOS: PROJECT POSITIVE BANTU TINGKATKAN TARAF HIDUP

Peserta Project Positive mengikuti kursus-kursus tersebut dengan menggunakan Kredit SkillsFuture mereka dan dana yang dikumpulkan masyarakat.

"Project Positive telah membantu meningkatkan taraf hidup, dan gabungan M3 sedar mereka boleh menambah lagi keberkesanannya," jelas Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

Sehubungan itu, para sukarelawan turut "turun padang" bagi memberi dorongan tambahan kepada peserta untuk menamatkan kursus mereka. Ini terutama sekali mereka yang berdepan dengan cabaran dalam menguruskan komitmen keluarga dan kerja mereka.


MARINI A MAJID: MASALAH KESIHATAN BUKAN PENGHALANG

Antara yang meraih manfaat daripada kursus latihan kemahiran Project Positive adalah Cik Marini Abdul Majid. Ibu kepada empat orang anak yang masih bersekolah tidak dapat bekerja atas sebab-sebab kesihatan.

Bagaimanapun, keadaannya tidak menghambat beliau daripada terus menimba ilmu dan mengikuti kursus membuat roti di bawah Project Positive.

Hasilnya, beliau menjadi "lebih berkeyakinan" dan terdorong untuk mengikuti kursus lanjut dalam membuat roti, di mana beliau mengambil dua lagi kelas di pusat latihan yang sama.

Malah, Cik Marini turut berasa yakin bahawa dengan kemahiran yang dimilikinya, beliau dapat menjana lebih banyak pendapatan melalui usaha menjual kuih secara kecil-kecilan dari rumah selepas beliau bersara di masa depan.


ASFIAH TAUHID: INGIN TINGKATKAN KEMAHIRAN MESKI SUDAH PEROLEH ILMU

Bagi seorang lagi peserta, Cik Asfiah Tauhid, beliau ingin meningkatkan lagi kemahiran membuat kuih dengan mempelajari teknik baru dan betul untuk membuat kuih. Ini meskipun beliau sudahpun memiliki pengalaman membuat kuih sebelum menghadiri bengkel berkenaan.

Ibu tunggal kepada tiga orang anak itu juga menimba ilmu dan petua baru seperti penggunaan bahan yang wajar, yang digunakan untuk membuat kuih.

Peserta kali pertama itu berkongsi beliau turut berasa yakin kemahiran yang dipelajarinya itu dapat membantu beliau menjana pendapatan tambahan bagi keluarganya.

Malah, Cik Asfiah juga menerima tempahan bagi kuih sempena Hari Raya sejak mengikuti kursus tersebut. Sehubungan itu, beliau berasa bahawa usia bukanlah hambatan untuk mempelajari kemahiran baru.

Yang pasti, beliau "sedar" akan pentingnya meningkatkan kemahiran diri meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam hidup. 

- BERITAMediacorp/nk

Top