Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan sokongan ingin dampingi lebih ramai pesakit barah Melayu

Satu perjumpaan Hari Raya yang penuh bermakna diadakan sekumpulan pesakit barah hari ini (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu perjumpaan Hari Raya yang penuh bermakna diadakan sekumpulan pesakit barah hari ini (30 Jun).

Majlis yang diadakan di Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) itu disertai 43 pesakit barah dari Kumpulan Sokongan Sinar Harapan.

Selain membawa keceriaan di bulan Syawal, kumpulan ini mengambil peluang untuk terus mendampingi para pesakit barah lain yang memerlukan sokongan.

SAMBUTAN HARI RAYA BERI KECERIAAN PESAKIT BARAH

Bertujuan memberi pengetahuan, sokongan psikologi dan emosi kepada pesakit-pesakit barah Melayu, Kumpulan Sokongan Sinar Harapan ditubuhkan lebih dari sedekad lalu di bawah naungan NCCS.

Pada hari ini ia masih lagi terus berjalan aktif menerusi pelbagai program yang dianjurkan. Ini termasuk acara tahunan Perjumpaan Hari Raya, yang tidak hanya mengundang ahli keluarga dan para penjaga pesakit barah, malah pesakit barah yang sudah melalui proses pemulihan.

"Program sokongan seperti Sinar Harapan membuka ruang kepada pesakit barah serta keluarga mereka untuk berkumpul dan berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang apa yang sudah membantu mereka ketika mereka membuat rawatan atau sesudah rawatan.

"Kami percaya kata-kata semangat lebih berkesan apabila diberikan oleh pesakit-pesakit barah sendiri kepada pesakit-pesakit yang lain, jadi ini seperti teman seperjuangan," kongsi Cik Ernalisah Mohd Subhi seorang Pekerja Khidmat Sosial Perubatan NCCS.

PESAKIT BARAH KONGSI LUAHAN HATI

Turut hadir memberi semangat ialah Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Encik Amrin Amin.

Encik Amrin sama-sama mendengar perkongsian pengalaman dan luahan masalah yang dihadapi oleh para pesakit.

Antaranya ialah tentang kos perubatan, stigma masyarakat terhadap pesakit barah dan sokongan yang diberikan kepada bekas pesakit barah.

Malah dalam sesi tersebut Encik Amrin turut menasihati dan mengingatkan para pesakit untuk sentiasa berjumpa dengan doktor untuk menjalani sesi kemoterapi.

PULANG BERI DORONGAN, NASIHAT BAGI PESAKIT BARAH LAIN

Salah seorang daripada mereka ialah Cik Kamsiah Jupni yang pulih daripada sakit barah sejak 2012, namun tetap pulang ke kumpulan ini bagi memberikan sokongan kepada pesakit lain.

"Amat gembiralah dapat beraya dan berjumpa sahabat-sahabat yang seperjuangan dengan kami, bukan sebagai kawan, bukan sebagai kenalan tetapi sebagai saudara," kongsi Cik Kamsiah Jupri seorang bekas pesakit barah kepada pihak BERITAMediacorp.

Cik Kamsiah turut berkongsi perkongsian peribadinya apabila beliau pulang menjadi seorang relawan dengan kumpulan ini.

Menurutnya walaupun pahit, perjuangan membantu pesakit lain tetap ingin diteruskannya.

"Ramadan tahun lepas dua anggota Sinar Harapan telah pergi meninggalkan kami.

"Selepas itu, beberapa bulan kemudian, seorang lagi telah pergi meninggalkan kami, amat terkesan dengan pemergian mereka itu semua," tambahnya lagi.

Namun begitu, beliau berkata sifat positif tetap perlu ada dalam setiap diri pesakit barah.

Bekas pesakit yang berusia 60 tahun itu turut berharap lebih ramai pesakit barah Melayu tampil ke hadapan untuk mendapatkan sokongan daripada kumpulan tersebut.

"Kalau boleh Sinar Harapan ini diberikan lagi pengetahuan yang lebih untuk orang-orang yang tidak pernah tahu, moga-moga mereka akan mengambil tindakan yang sama seperti kami, hidup bahagia tidak kesunyian, kita akan bersama mereka sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain," ujar Cik Kamsiah.

Kini merangkumi sekitar 30 anggota, kumpulan sokongan ini berharap untuk dapat terus menyinari kehidupan para pesakit barah Melayu yang lain. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan