Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khutbah Aidilfitri: Mufti Dr Fatris ajak umat Islam selami erti kerohanian sebenar

Keinginan membawa kebaikan kepada mereka di sekeliling kita – inilah erti murni kerohanian.

Anggaran Waktu Membaca:
Khutbah Aidilfitri: Mufti Dr Fatris ajak umat Islam selami erti kerohanian sebenar

Masjid Sultan yang selesai menjalani kerja naik taraf. (Gambar: Ngau Kai Yan)

SINGAPURA: Keinginan membawa kebaikan kepada mereka di sekeliling kita – inilah erti murni kerohanian. Jangan “tersasar”, mengasingkan diri daripada masyarakat disebabkan pemahaman bahawa “kerohanian hanya tertumpu kepada hubungan dengan Ilahi”.

Itulah nasihat Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram hari ini (15 Jun) semasa menyampaikan khutbah Aidilfitri yang bertajuk ‘Pengertian Kerohanian serta Potensinya’.

Menurut Dr Fatris kerohanian yang semakin subur seharusnya menguatkan keinginan seseorang Muslim untuk lebih giat membawa kebaikan bukan hanya kepada diri sendiri malah juga kepada mereka di sekelilingnya.

Malah, tambah Mufti, kerohanian yang murni mampu menggerakkan masyarakat untuk bergerak maju bersama-sama dan menggalak perkongsian sumber.

“Seorang mukmin yang kukuh kerohaniannya tidak boleh merasakan kedamaian dalam hati sekiranya beliau tahu ada di sekelilingnya yang berada dalam kesukaran, kesulitan dan kesengsaraan,” tegas beliau.

Khutbah Aidilfitri Dr Fatris itu disampaikan di Masjid Sultan di mana beliau turut memimpin jemaah bagi solat Aidilfitri di sana pagi ini (15 Jun). Turut bersolat di Masjid Sultan adalah Presiden Halimah Yacob bersama suaminya, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

TINGKATKAN KEROHANIAN, BINA KEYAKINAN DIRI

Mengulas lebih lanjut tentang erti kerohanian, Dr Fatris menekankan bahawa masyarakat, khususnya golongan muda perlu membina keyakinan diri dari segi keagamaan mereka. Ini supaya identiti agama mereka tidak rapuh sehingga dibelenggu keraguan berpanjangan.

Lantaran itu, Mufti mengajak umat Islam mengambil langkah “yang paling wajar” iaitu dengan bersama-sama mempertingkat pengetahuan dan menyuburkan kefahaman.

Beliau turut memuji golongan belia dan masyarakat Islam Singapura yang berusaha mengenali budaya dan agama lain dalam negara ini.

Beliau percaya, ini dilakukan dengan berbekalkan keyakinan dan pemahaman yang kukuh.

“Kita tidak mudah terpengaruh dengan pandangan yang menyatakan bahawa jika anak-anak kita menziarahi rumah ibadat agama lain ia boleh melemahkan keimanan mereka,” kata Dr Fatris.

Beliau menambah, pandangan seperti itu meskipun wujud dalam kalangan sebahagian ulama namun tidak kurang juga ulama yang membenarkan orang bukan Islam menziarahi masjid dan sebaliknya untuk Muslim menziarahi rumah peribadatan agama lain.

Dr Fatris berkata generasi Muslim akan datang diharap mempunyai pemahaman yang mendalam tentang agama dan menghargai ajarannya.

Pada masa yang sama, mereka juga yakin akan pegangan agama mereka, sehingga tidak kira di mana mereka berada, mereka merasa aman dan tenang bahawa mereka adalah Muslim disebabkan kefahaman dan kepercayaan dan bukan semata-mata kerana dilahirkan sebagai Muslim tanpa penghayatan.

Sebelum mengakhiri khutbahnya itu, Mufti turut menekankan lagi peri pentingnya menyemaikan kerohanian dengan ibadah yang membantu masyarakat dan berkata: “Kedamaian dan ketenangan yang kita dambakan daripada kerohanian yang jitu akan berkekalan apabila ia diperkukuhkan dengan amalan baik.”  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan