Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keunikan keluarga 4 generasi seramai 100 anggota ini meriahkan hari pertama Syawal

Pada Hari Raya pertama ini, bagaimanakah suasananya apabila sebuah keluarga empat generasi berkumpul?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pada Hari Raya pertama ini, bagaimanakah suasananya apabila sebuah keluarga empat generasi berkumpul?

Pasti riuh-rendah dibuatnya. Apa lagi kalau hampir 100 anggota keluarga berkumpul di bawah satu bumbung pada satu masa.

Itulah kemeriahan Aidilfitri di rumah Cik Ramlah Karim. Di kalangan hampir 100 anggota keluarga yang berkunjung dan berkumpul di rumahnya, 40 merupakan cicitnya.

Bayangkan sahaja kekecohan di rumahnya apabila semua anak-anak, cucu dan cicitnya bersatu pada hari pertama Syawal ini.

Ketika wartawan BERITAMediacorp berkunjung ke rumah Cik Ramlah, jelas terasa 'bahang raya'.

Bagi Cik Ramlah Karim, 88 tahun, berkumpul seperti ini dijadikan satu tradisi.

"Gembira, saya makan sahaja. Ada ramai yang datang, anak sendiri ada lapan. Cucu tidak terkira," seloroh Cik Ramlah.

Kenangan manis sempena Lebaran ini juga 'dirakam' generasi celik digital keluarga itu di mana mereka boleh melihat gambar dan video masing-masing di media sosial menerusi hashtag #NekRamlahLegacy.

RAYA MACAM 'POTLUCK'

Menariknya, tidak sahaja kemeriahan dapat bersatu dirasakan. Semangat gotong-royong juga jelas dalam keluarganya yang bersama-sama menggembleng tenaga untuk menyajikan pelbagai lauk-pauk Hari Raya.

Anak Cik Ramlah, Cik Isnani Norasiken Mohamed Ali memberitahu BERITAMediacorp bahawa setiap keluarga akan bawa lauk-pauk masing-masing bagi santapan keluarga besar itu.

"Kita akan kongsi makanan dan makan bersama-sama, rasa lauk pauk air tangan lain-lain seperti sambal goreng pengantin, lodeh, rendang. Tahun ini, saya masak rendang ayam dan sambal goreng pengantin," kata Cik Isnani.

KEGIATAN UNTUK KELUARGA

Keluarga ini juga membawa kelainan kepada sambutan Aidilfitri dengan menganjurkan kegiatan-kegiatan untuk dilakukan bersama.

Tahun ini, kanak-kanak dihiburkan dengan lukisan karikatur hasil karya pakcik mereka sendiri, Encik Mohamed Izwandy Mohamed Noor.

(Gambar: BERITAMediacorp)

"Saya memang minat melukis. Potret ataupun karikatur, pada masa lapang saya. Bagi perhimpunan keluarga ini, untuk hari raya, saya cuba untuk buat satu kelainan. Saya ingin membuat keluarga saya, terutama sekali budak-budak gembira. Jadi saya lukis portrait, karikatur mereka," kongsi Encik Izwandy.

Selain melukis, semestinya musim Hari Raya ini memberi peluang kepada sanak-saudara untuk mempererat silahturahim antara satu sama lain, di samping mengubati rindu dek kesibukan seharian.

"Kita boleh berbual bersama-sama, meriahkan lagi Hari Raya sebab sudah lama tidak berjumpa," kata anggota keluarga besar itu, Nur Nazhifah Fithriyah Muhd Sharil.

Yang pasti, Hari Raya tetap meriah apabila diraikan bersama mereka yang tercinta.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan