Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Keluarga 6 generasi 'balik kampung', sambut Raya di Pulau Ubin

Berlainan dengan keluarga Encik Muhamad Shahir Abdul Majid. Mereka sekeluarga perlu menaiki bot untuk balik kampung. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Pengangkutan yang digunakan untuk berkunjung ke rumah sanak-saudara di Singapura pada Hari Raya ini biasanya kereta, bas dan MRT.

Berlainan pula dengan keluarga Encik Muhamad Shahir Abdul Majid. Mereka sekeluarga perlu menaiki bot untuk balik kampung. Namun kampung mereka tidaklah terlalu jauh. Hanya perlu menyeberang lautan sahaja sekitar 10 minit dan masih lagi berada di Singapura.

Dengan yang lelaki berpakaian baju Melayu lengkap bersongkok, yang wanita pula ayu berbaju kurung, beramai-ramai mereka merentas lautan untuk berhari raya bersama-sama keluarga di Kampung Sungai Durian di Pulau Ubin.

Itulah uniknya Lebaran keluarga enam generasi ini.

LENGKAP BERBAJU MELAYU NAIK BOT

BERITAMediacorp berpeluang untuk turut menikmati keceriaan berhari raya dengan mereka pada hari ini (17 Jun).

Seawal pukul 10.00 pagi lagi Encik Shahir dan beberapa lagi anggota keluarga beliau sudah berada di Terminal Feri Changi untuk menaiki bot.

Untuk ke kampung halaman keluarga Encik Shahir, ia mengambil masa kira-kira 15 minit jika berjalan kaki dan hanya lima minit jika menaiki kenderaan - sama ada van atau basikal.

Menurut Encik Shahir, sebahagian anggota besar anggota keluarganya sudahpun tiba lebih awal untuk membuat persiapan. Ada yang menaiki van dari jeti tersebut dan sebahagian yang lain pula ada yang mengayuh basikal.

Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Ira Musfirah)

RAYA DI KAMPUNG: TRADISI LEBIH 12 TAHUN

Suasana sekitaran yang menghijau, ditambah dengan ramai anggota keluarga yang tersenyum riang dan saling bergelak ketawa sambil menjamu selera menyambut kedatangan saudara-mara yang baru sahaja tiba.

Encik Shahir memberitahu BERITAMediacorp begitulah suasananya setiap tahun.

Beliau, yang merupakan generasi kelima daripada keluarga datuknya Haji Abdullah Bin Haji Salleh, berkata ini merupakan tradisi yang sudah diamalkan sejak bertahun-tahun lamanya.

"Datuk dan nenek saya tinggal di sini (dahulu), Jadi dahulu ibu bapa saya datang sinilah beraya. Bila keluarga kami dah membesar, adik-beradik kami dah ada ramai, hasrat datuk saya (adalah) untuk mengumpulkan kami di sini untuk beraya di sini.

"Tradisi ini sudah diulang setiap tahun sampai sekarang, sudah 12 tahun hingga 16 tahun kami beraya di sini," kata Encik Shahir, 36 tahun.

Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Ira Musfirah)

RUMAH PANGGUNG LEBIH 100 TAHUN

Menurut Encik Shahir, sejak tahun lalu, rumah panggung milik keluarganya sudah tidak lagi dihuni. Lebih-lebih lagi memandangkan sudah tiada lagi bekalan elektrik di sana. Sungguhpun begitu, salah seorang bapa saudaranya masih melawat Pulau Ubin seminggu sekali untuk menjenguk-jenguk rumah dan membersihkan apa yang patut.

Rumah panggung milik keluarga Encik Shahir ini walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, masih baik keadaannya dan strukturnya masih lagi utuh.

"Rumah ini sebenarnya (sudah) lama. Dari nenek emak saya. (Pada) tahun 1890 rumah ini masih ada tapi kecil. Dia punya bahan utama (dibuat daripada) pokok Cengal. Jadi tiang tu dibuat daripada pokok cengal. Itulah yang dari dulu sampai sekarang masih ada," kata Cik Samsiah Abdullah, ibu saudara Encik Shahir, sambil merujuk kepada tujuh tiang utama rumah panggung yang sudah wujud sejak tahun 1890 lagi.

Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SEPAKAT BAWA LAUK-PAUK, ADA 'AIS KACANG'?

Untuk menjayakan perjumpaan Hari Raya mereka di Pulau Ubin, setiap anggota keluarga bersepakat untuk membawa pelbagai lauk-pauk serta beraneka kuih Raya.

Lebih menarik lagi, mereka juga menyediakan 'ais kacang', yang aisnya boleh dikisar sendiri oleh sesiapa sahaja yang ingin melegakan dahaga.

Antara kegiatan yang dilakukan di sana adalah bermain bunga api, mengadakan doa selamat serta bertakbir beramai-ramai. Bertambah syahdu suasana di dalam rumah apabila seisi keluarga melaungkan takbir Hari Raya.

Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Bagi Encik Shahir, beliau dan anggota keluarganya beruntung kerana dapat menyambut Aidilfitri dalam dua suasana yang berbeza - di bandar dan di kampung.

Yang pasti pengalaman itu amat berharga bagi mereka sekeluarga kerana tidak semua orang yang dapat melakukannya.

BERAMAH MESRA TANPA GANGGUAN INTERNET

Menurut pemerhatian BERITAMediacorp semasa berada di sana, terdapat satu kelainan ketara apabila beraya di kampung Pulau Ubin - iaitu ketiadaan rangkaian internet.

Maka, setiap anggota keluarga dilihat dapat beramah-mesra, bergurau dan saling bertanya khabar tanpa sebarang gangguan peralatan elektronik, khususnya telefon bimbit.

Kanak-kanak juga dilihat seronok bermain-main di bahagian halaman rumah yang begitu luas.

Bagi Encik Shahir sendiri, tahun ini lebih bermakna memandangkan beliau dan isterinya baru menimang cahaya mata pertama tujuh bulan yang lalu. Maka dapatlah beliau memperkenalkan kampung di mana datuk, nenek dan ibunya dibesarkan, kepada anaknya - generasi keenam keluarga tersebut.

"Saya amat gembira yang anak saya, generasi keenam dapat hadir dan menikmati suasana di sini. Nak merayakan (Aidilfitri dengan suasana kampung di Singapura) amat sukar, kecuali ada saudara-mara di Johor," ujar beliau yang bertugas sebagai ejen hartanah.

MONYET PUN INGIN BERAYA

Apabila beraya di kampung pasti ada pengalaman unik yang tidak dapat dirasakan oleh orang-orang bandar.

Cik Samsiah berkongsi dengan BERITAMediacorp, bahawa juadah ayam berlauk adalah satu keistimewaan yang boleh membawa kegembiraan bagi dirinya semasa kecil.

"Bila tahu di radio esok nak Raya baru petang itu kita kelam kabut. Lari keliling (rumah) tangkap ayam. Sembelih. Sebab sini tak ada lembu. Kita makan daging ayam saja.

"Kita punya bahan utama makanan, (biasanya) makanan laut, udang dan ikan. (Jadi) memang istimewalah dapat kari ayam. Memang seronoklah. Tapi sebelum makan ayam kena penat dululah," kata Cik Samsiah sambil tertawa.

Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Bagi Encik Shahir pula antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah insiden bersama monyet-monyet yang juga 'ingin beraya'.

"Yang selalu ingat, tengah makan monyet datang ambil tempat saya, saya makan di pinggan, (ia) datang dari belakang, dia 'chop' saya punya makanan dan lari!

"Terperanjat, kalau dia datang dari depan, saya boleh nampak, (ini) datang dari belakang, amat melucukan," kata Encik Shahir.

MAHU TERUS BERAYA DI KAMPUNG

Yang pasti tradisi berkumpul di kampung nenek moyang mereka setiap kali Hari Raya adalah sesuatu yang ingin dilestarikan selagi mana kampung tersebut masih tegak berdiri.

"Terpulang pada anak dan cuculah sama ada mereka nak mengekalkan tradisi berkumpul di sini ataupun bagaimana. Harapan saya memang semoga mereka dapat mempertahankan tempat ini. Semoga melanjutkan lagi tradisi untuk berhari raya di kampung," ujar Cik Samsiah.

Sebagai generasi lebih muda, Encik Shahir amat berharap beliau dapat memainkan peranan untuk meneruskan warisan keluarganya itu.

"Saya sungguh berharap agar generasi akan datang dapat beraya di sini, memeriahkan hari raya di sini, bersama kita.

"Sebagaimana datuk nenek saya memastikan kami berhari raya di sini, saya juga akan memastikan anak atau cucu saya, Insya Allah, berada di sini untuk beraya bersama," kata Encik Shahir. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan