Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HPB ingin terus sebarkan mesej bebas rokok sempena Ramadan ini

Orang ramai boleh mendaftarkan diri di gerai HPB yang terletak di Bazar Geylang dan Bazar Raya Utara Woodlands untuk menyertai kempen ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah peserta kempen henti merokok ‘I Quit’ kekal stabil dengan penyertaan sekitar 10,000 orang setiap tahun sejak 2014.

Namun begitu, hanya 10% peserta sahaja yang berjaya berhenti merokok sepenuhnya selepas menjalani keseluruhan program tersebut.

Lantaran itu, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) ingin terus mempergiatkan usaha menyebarkan mesej bebas rokok Ramadan ini.

Kempen Ramadan, I Quit, kelolaan HPB menggalak perokok Melayu/Islam supaya berhenti merokok atau mengurangkan mereka menghisap rokok bagi sekurang-kurangnya 28 hari, sepanjang Ramadan.

Meskipun jumlah penyertaannya melebihi sasaran yang ditetapkan HPB, cabarannya ialah untuk menggalak mereka terus berhenti merokok secara kekal.

'TABIAT' ANTARA CABARAN UTAMA PEROKOK

"Untuk perokok macam saya, puasa boleh tahan tetapi lepas buka macam biasa. Tabiat," kata Encik Md Farid Rahman.

Seorang lagi, Encik Ruzaidi Massunik, berpendapat: "Kemungkinan pasal sudah tabiat mereka. Jadi sudah beberapa tahun mereka menghisap rokok jadi hendak henti itu susah."

Maka itu, Penasihat Kesihatan HPB Cik Nur Ba’yah Roslan, mahu menggalak para peserta program I Quit agar mengukuhkan iltizam meneruskan perjalanan ke arah kehidupan bebas rokok.

Keadaan ini lebih mendesak lagi, dengan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin, mengumumkan sekitar 25% penduduk Melayu di sini merokok iaitu seganda lebih tinggi daripada kadar nasional.

"Mungkin faktor yang pertama yang mungkin mereka mengambil langkah-langkah yang pertama untuk berhenti merokok ialah untuk kesihatan dan juga untuk kebaikan diri mereka dan di samping itu, mereka juga boleh dapat sokongan moral daripada keluarga-keluarga dan kawan-kawan mereka," kata Cik Nur Ba'yah.

MANFAATKAN BULAN RAMADAN UNTUK HENTI MEROKOK

Sekarang ini perokok yang menandatangani ikrar berhenti merokok dapat menjalani sesi kaunseling dan ujian secara percuma.

Mereka juga boleh mendapatkan nasihat para pakar tentang cara mengawal keinginan merokok yang dianggap bersesuaian untuk dilakukan semasa bulan puasa.

Antara tips yang dikongsi termasuk mengalihkan perhatian dengan melakukan kegiatan lain seperti membaca buku atau melakukan senaman ringan.

Cik Nur Ba'yah menambah: "Mereka tidak perlu patah semangat. Mereka juga boleh jumpa semula dengan perunding berhenti merokok dan mendapatkan motivasi dan juga boleh menyokong mereka dan memberikan mereka semangat untuk kembali semula untuk berhenti merokok."

Orang ramai boleh mendaftarkan diri di gerai HPB yang terletak di Bazar Geylang dan Bazar Raya Utara Woodlands untuk menyertai kempen ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan