Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belum beli kuih raya? Jika anda mahukan kelainan, ini senarai kuih raya baru

Pilihan kuih raya semakin kreatif dengan beberapa manisan yang dianggap sebagai 'tradisional' diubah suai mengikut citarasa generasi masa kini.

Anggaran Waktu Membaca:
Belum beli kuih raya? Jika anda mahukan kelainan, ini senarai kuih raya baru

Aneka pilihan kuih raya yang kreatif melengkapi sambutan Hari Raya. (Gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Menjelang Syawal, ramai yang pasti teringat-ingat beraneka jenis kuih dan biskut yang bakal menghiasi meja dan ruang tamu. Kuih makmur, suji, semperit, sarang semut, kurma gulung, biskut badam, Milo rangup serta kek lapis adalah antara manis-manisan yang menjadi hiasan bagi melengkapi sambutan Hari Raya apabila disajikan kepada para tetamu yang datang berkunjung.

Kek Tat Nanas

Kek Tat Nanas. (Gambar: @madbattersg)

Kek Tat Nanas. (Gambar: @madbattersg)

Sekali makan memang tidak puas. Memang lazat! Tambah memikat hati adalah bentuk keknya yang ‘Instagrammable’. Kek tat nanas oleh @madbattersg ini hanya ‘muncul’ pada bulan Ramadan dan Syawal, sekaligus menjadikannya lebih istimewa. Kek yang dihias berlapis-lapis ini sebenarnya adalah variasi tat nanas dan ia mampu menepati citarasa ramai tanpa mengira usia, terutamanya golongan muda yang mungkin mahukan kelainan daripada bentuk tat nanas yang biasa dilihat.

Tat Nutella

Tat Nutella. (Gambar: @batterhalves)

Tat yang satu ini bukan biasa-biasa. Sekiranya lidah anda lebih cenderung kepada manisan coklat, tat Nutella, mungkin menjadi pilihan. Ia dibakar bukan sekali tetapi dua kali! Bayangkan betapa ‘garingnya’ tat itu? Ditambah pula dengan lemak manis rasa coklat yang seolah-olah ‘menari-nari’ di dalam mulut anda. Pasti tidak cukup dengan hanya satu saja.

Brownie Ondeh-Ondeh & Bandung

Brownie Ondeh-Ondeh & Bandung. (Gambar: @brownie.connoisseur.sg)

Ini satu lagi ‘kuih’ Melayu terkini yang baru diperkenalkan bulan lalu. Kalau disebut Brownie biasanya dikaitkan dengan coklat. Namun menerusi kreativiti, brownie dijual dalam pelbagai perisa, termasuk ondeh-ondeh dan bandung! Brownie ondeh-ondeh adalah gabungan coklat putih dengan air perahan daun pandan. Bahagian dalamnya pula ‘disumbat’ dengan cebisan dan cairan gula Melaka. Manakala brownie bandung pula dibuat menggunakan sirap ros sebenar. Maka rasanya sama seperti air bandung kegemaran ramai. Satu kelebihan brownie tersebut adalah ia tidak terlalu manis.

Makarun Ondeh-Ondeh

Makarun Ondeh-Ondeh. (Gambar: @madbattersg)

Makarun ondeh-ondeh adalah manisan ‘fusion’ yang menggabungkan ciri kuih tradisional Melayu dengan Itali. Sekiranya ia dianggap janggal untuk disajikan semasa Lebaran, makarun perisa ondeh-ondeh yang mengimbangi bahan-bahan seperti pandan, kelapa dan gula Melaka ini sudah tentu mampu memenuhi citarasa orang Melayu.

‘Cookie pie’

‘Cookie pie’. (Gambar: @batterhalves)

Elakkan daripada berasa keliru kerana tidak tahu ‘kuih’ yang mana satu mahu ‘disambar’ terlebih dahulu. Gabungan pai dan biskut yang dipanggil ‘cookie pie’ ini boleh memudahkan anda membuat pilihan. Terdapat empat perisa menarik yang boleh anda cuba – Nutella Choc Chip, Speculoos Choc Chip, Milo Crumble & Basic Choc Chip – yang dijual dalam dulang dan boleh dipotong-potong untuk dikongi bersama keluarga dan rakan-rakan pada musim perayaan ini.

Red Velvet Snowbites

Red Velvet Snowbites. (Gambar: @batterhalves)

Kek, biskut dan kuih-muih berperisa Red Velvet pernah menjadi ‘kegilaan’ ramai pada satu ketika dulu. Ia sememangnya perisa yang tidak asing lagi. Maka tidak hairanlah jika ‘kek’ biskut Red Velvet yang dijual oleh @batterhalves ini begitu popular. Bukan setakat enak, bebola merah yang disalut gula aising juga ‘sedap’ dipandang mata.

Sumber : BERITA Mediacorp/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan