Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Azan, buka puasa, solat jemaah di kuil; iftar anjuran masyarakat Sikh tonjol sifat ihsan & tolak ansur

Satu majlis iftar istimewa yang diadakan buat seramai 100 pekerja asing di Singapura menarik perhatian dan begitu menyentuh hati Presiden Halimah Yacob.

Anggaran Waktu Membaca:
Azan, buka puasa, solat jemaah di kuil; iftar anjuran masyarakat Sikh tonjol sifat ihsan & tolak ansur

Para pekerja asing solat berjemaah di kuil Sikh. (Gambar: Noor Mastura/Facebook)

BERITAMediacorp: Satu majlis iftar istimewa yang diadakan buat seramai 100 pekerja asing di Singapura menarik perhatian dan begitu menyentuh hati Presiden Halimah Yacob.

Ini kerana majlis iftar itu bukan dianjurkan oleh mana-mana badan atau pertubuhan Melayu/Islam seperti lazimnya. Sebaliknya, ia dianjurkan oleh masyarakat Sikh di Gurudwara Sahib Katong - iaitu sebuah kuil Sikh.

Majlis itu mula mendapat perhatian setelah satu catatan mengenainya dimuat naik oleh seorang wanita bernama Noor Mastura ke laman Facebooknya semalam (13 Jun). Menurut Cik Noor Mastura, majlis iftar dan Langar itu dianjurkan oleh seorang rakannya yang menganut agama Sikh.

Majlis tersebut mencerminkan erti sebenar perpaduan, keharmonian kaum dan sikap saling bertolak ansur dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Catatan Cik Nor Mastura itu menarik perhatian Presiden Halimah yang menyatakan di laman Facebooknya semalam bahawa inisiatif kecil seperti itu begitu menyentuh hati beliau kerana ia menunjukkan bagaimana masyarakat berlainan agama dan kaum menyerlahkan keprihatinan,sifat penyayang serta saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Lantaran itu, Presiden Halimah Yacob menyeru agar rakyat Singapura terus menghargai perpaduan dan hubungan unik seperti itu, yang dikongsi antara pelbagai masyarakat di negara ini.

IFTAR, LANGAR DIANJUR BEGITU SEMPURNA

Majlis Langar bermaksud dapur masyarakat di Gurdwara di mana makanan percuma diberikan kepada semua pengunjung, tanpa membezakan agama, darjat, jantina, kedudukan kewangan mahupun kaum seseorang. Makanan percuma itu adalah hidangan 'vegetarian'.

Cik Noor Mastura menambah, majlis iftar itu diadakan dengan begitu sempurna. Para pekerja asing dijamu dengan chapatti, kurma, pencuci mulut. Malah tempat untuk berbuka juga diatur dengan baik dan pihak penganjur turut memastikan terdapat jumlah sukarelawan yang mencukupi untuk menghidangkan juadah berbuka puasa.

Meskipun pecah keringat menyiapkan juadah berbuka, kata Cik Noor Mastura, para sukarelawan masih tetap tersenyum dan melakukannya “dengan penuh keikhlasan”.

Bagi pihak penganjur, penting untuk mereka memastikan para pekerja asing beragama Islam itu dapat berbuka puasa tepat pada waktunya. Sebaik sahaja masuk waktu berbuka, azan Maghrib berkumandang di dalam kuil itu - dengan jelas dan terang.

BERDIRI SEBAGAI TANDA HORMAT SEPANJANG SOLAT MAGHRIB

Usai berbuka puasa, pihak pengurusan kuil malah mengizinkan para pekerja asing tersebut untuk menunaikan solat berjemaah di sana. Namun, perkara yang amat menyentuh hati Cik Noor Mastura adalah apabila masyarakat Sikh di sana berdiri sehinggalah para pekerja asing selesai bersolat, sebagai tanda hormat.

Sifat terbuka dan ihsan yang ditonjolkan oleh masyarakat Sikh itu sedikit sebanyak boleh terus dicontohi oleh masyarakat lain di Singapura bagi memperkukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan