Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahli politik Jerman dan Denmark gesa Muslim berpuasa tidak bekerja

Benarkah orang Islam tidak mampu melunaskan tanggungjawab harian dan membahayakan orang lain hanya kerana mereka menjalani ibadah puasa?

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli politik Jerman dan Denmark gesa Muslim berpuasa tidak bekerja

(Gambar hiasan: Reuters)

Diterbitkan : 01 Jun 2018 02:59PM Dikemas Kini : 01 Jun 2018 03:01PM

DENMARK: Benarkah orang Islam tidak mampu melunaskan tanggungjawab harian dan membahayakan orang lain hanya kerana mereka menjalani ibadah puasa?

Itulah yang terjadi di Jerman dan Denmark apabila ada ahli politik berfikiran sempit, yang mengatakan bahawa orang Islam tidak mampu memberi tumpuan kepada pekerjaan mereka ketika berpuasa.

Reuters melaporkan, ahli politik Jerman dari kumpulan antipendatang, Alternative for Germany (AfD) mendesak agar orang Islam yang bertugas sebagai doktor, jururawat, juruterbang, pemandu bas dan kereta api, dilarang daripada bekerja sepanjang Ramadan jika mereka berpuasa.

Jerman mempunyai sekitar 4 juta orang Islam - termasuk dari keturunan Turki yang sudah berdekad-dekad lamanya bermastautin di situ, selain para pendatang dan pemohon suaka yang tiba sejak beberapa tahun lalu.

Kebanyakan daripada mereka melarikan diri dari konflik di Syria, Iraq dan beberapa negara lain.

Ahli politik AfD Martin Sichert berkata, majikan yang tidak boleh memberikan pekerja Muslim syif malam atau syif lebih awal, perlu mengarahkan pekerja itu menggunakan cuti tahunan mereka sepanjang bulan Ramadan, lapor Astro Awani.

"Bayangkan pesakit di hospital perlu dibedah oleh doktor bedah yang tidak minum atau makan apa-apa selama 12 jam?

"Kenapa penumpang (pengangkutan awam) perlu dibawa ke sana-sini oleh orang yang mungkin menghadapi masalah menumpukan perhatian dan dehidrasi kerana berpuasa?" kata Encik Sichert, yang juga anggota jawatankuasa Parlimen bagi hal ehwal pekerja dan sosial.

Seorang jurucakap pemerintah Jerman berkata beliau enggan mengulas tentang cadangan Encik Sichert itu.

Canselor Angela Merkel, yang sebelum ini berdepan kritikan daripada rakyat Jerman kerana membuka sempadan negara itu untuk dimasuki lebih sejuta pendatang beberapa tahun lalu, mahukan sebuah negara Jerman yang lebih inklusif dan pelbagai etnik.

Menurut Astro Awani, Cik Merkel sudah lama menegaskan bahawa Islam juga merupakan sebahagian daripada Jerman, selain menyeru ke arah toleransi.

Komen Encik Sichert dibuat menyusuli kenyataan seumpamanya daripada Menteri Integrasi Denmark, Inger Stojberg, yang mendesak supaya penganut Islam mengambil cuti sepanjang Ramadan bagi 'mengelak daripada kesan negatif terhadap masyarakat', seperti ditukil Astro Awani.

"Ia boleh menjadi sesuatu yang berbahaya bagi kita semua jika pemandu bas tidak makan atau minum sepanjang hari, dan anda tidak boleh bekerja dengan prestasi yang sama di kilang atau hospital jika anda berpuasa," katanya seperti yang dilaporkan dalam akhbar BT di Denmark.

Kenyataan Cik Stojberg itu menerima kritikan meluas, termasuk daripada Parti Liberal yang beliau sendiri wakili. 

Sumber : Reuters/Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan