Skip to main content

Iklan

Iklan

400 bekas penduduk Kampung Bukit Panjang Batu 10 rapatkan semula ukhwah

Sekitar 400 bekas penduduk Kampung Bukit Panjang merapatkan semula ukhwah dalam satu perjumpaan Hari Raya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Sekitar 400 bekas penduduk Kampung Bukit Panjang merapatkan semula ukhwah dalam satu perjumpaan Hari Raya.

Perhimpunan empat generasi itu juga mengumpulkan sebilangan penduduk yang sudah hampir 40 tahun tidak berjumpa.

Bekas penduduk kampung kampung tersebut malah berpeluang mengimbau kembali suasana kampung menerusi persembahan jenaka dan lagu lama.

Begitulah kemeriahan suasana perjumpaan Hari Raya bekas penduduk kampung Bukit Panjang Batu 10 hari ini.

Di bekas tapak Kampung Bukit Panjang Batu 10 adalah pusat beli-belah Hillion Mall yang ada sekarang.

(Gambar ihsan)

KUMPULAN KOMPANG KEMBALI BERAKSI

Malah, kumpulan kompang yang menjadi tunggak perpaduan kampung itu dahulu turut dihidupkan kembali oleh anggota kumpulan asal dalam acara yang diadakan di Kelab Masyarakat Bukit Batok East ini.

Bekas ketua kumpulan kompang itu, Encik Hitam Bintang, yang pernah mengendalikannya sekitar 20 tahun berkata: "Kalau ada hari keramaian macam maulud Nabi, biasanya dari Woodlands sampai ke Bukit Panjang. Lebih kurang tiga empat batu."

"TERINGAT SEMANGAT GOTONG ROYONG"

Yang jelas, perjumpaan ini merapatkan kembali silaturahmi antara bekas penduduk yang sudah lama terjalin.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa, Encik Basir Sujari memberi pendapat: "Teringat semangat kampung, semangat kasih sayang, semangat gotong royong dan kita cuba nak kumpulkan balik supaya dapat kita kenal. Tujuan kita yang sebenarnya nak merapatkan hubungan silaturahmi dan kerjasama penduduk Batu 10 Bukit Panjang."

Dengan bertemakan Nostalgia Aidilfitri, kenangan di Kampung Bukit Panjang juga jelas tidak mudah dilupakan.

INSIDEN BANJIR DI HARI RAYA

Ustaz Abdul Jalil Abdul Razak yang dilahirkan di kampung itu turut berkongsi insiden banjir yang berlaku semasa Hari Raya dahulu.

"Kerana kampung tersebut bersebelahan dengan longkang yang agak besar, bila hujan lebat, kampung itu banjir. Dan satu ketika, kita terpaksa berpindah ke bersebelahan dengan Balai Polis Bukit Panjang di situ untuk keselamatan kita di sana," katanya.

(Gambar: Ira Musfirah)

Satu lagi kegiatan yang menjadi kebiasaan di kampung tersebut adalah hari sukan yang diadakan setahun sekali.

Perjumpaan Hari Raya itu bukan sahaja membawa keceriaan kepada golongan lebih dewasa, malah juga kanak-kanak.

Mereka turut tidak mahu terlepas peluang menerima duit raya.

Meskipun tiada lagi Kampung Bukit Panjang Batu 10, kenangan di salah satu kampung yang pernah wujud di Singapura itu terus terpahat dalam ingatan bekas penduduknya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan