Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

17 gerai pasar Geylang Serai tawar hidangan kegemaran versi sihat

Berbuka puasa sambil jaga badan? Ada 17 gerai pasar Geylang Serai tawar hidangan kegemaran versi lebih sihat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebagai sebahagian daripada program Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) yang diberi nama 'Wholegrain Weekend', 17 gerai makanan dan minuman di pasar Geylang Serai akan menawarkan hidangan kegemaran ramai seperti nasi ayam dan mi siam versi sihat.

Pilihan juadah lebih sihat di kawasan makanan yang popular itu, khususnya di kalangan masyarakat Melayu, bermula hari ini hingga 7 Julai nanti.

Antaranya para peniaga terlibat menggunakan bahan-bahan lebih sihat seperti beras perang dan mi bijirin penuh.

Bagi menyokong para peniaga yang berkenaan, HPB membekalkan bahan-bahan bijirin penuh selama sebulan secara percuma.

Para pelanggan yang memilih menu sihat itu pula akan diberi diskaun sehingga S$2 jika membeli dari gerai-gerai terlibat, pada hari ini dan esok.

"Kalau macam mi biasa lain rasanya, mi ini lain sikit. Jadi kalau kita sudah ubah suai dengan semua lauk-lauknya lagi sedap," ulas pekerja warung Yes Boss, Cik Sakyah Hassan.

"Kalau barang makanan mana yang memberikan kesihatan dan kemanfaatan pada diri kita, kita harus mengambilnya untuk kebaikan kita sendiri dan juga keluarga kita," kata Encik Noordin Sulong pula, pemilik gerai Takde Nama.

Inisiatif 'Wholegrain Weekend' HPB ini bertujuan menambahkan pilihan bijirin penuh dan menggalak masyarakat untuk memperbaiki mutu pemakanan mereka. Usaha itu juga diluaskan kepada 15 masjid di bawah program 'Jaga Kesihatan, Jaga Ummah' HPB.

"Saya rasa ini satu inisiatif yang berterusan di mana kita menggalakkan masyarakat kita untuk terus (mengamalkan) hidup gaya sihat, makan sihat dan inisiatif ini menunjukkan yang kita boleh menukar makanan kegemaran kita kepada satu makanan yang lebih sihat," kongsi Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.

Secara keseluruhannya, lebih 11,000 orang dijangka meraih manfaat daripada inisiatif terbaru HPB ini.

Paket-paket makanan lebih sihat juga akan diagihkan kepada 3,000 penerima TAA.

Jadi, jika anda merancang untuk berbuka puasa pada hujung minggu ini di pasar Geylang Serai, anda boleh mencuba tawaran makanan lebih sihat itu.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan