Ramadan & Syawal 2017

Images
  • woman lift
    Wanita yang cedera dalam insiden itu diberi bantuan daripada pasukan SCDF. (Gambar: Facebook/ Raudhah Putri)

Wanita cedera apabila lif yang dinaiki jatuh dari tingkat 4 semasa berjalan Raya

SINGAPURA: Seorang wanita dan keluarga beliau mengalami detik cemas pada malam Sabtu (1 Jul) apabila lif yang mereka naiki tiba-tiba jatuh dari tingkat empat Blok 542 Jurong West Ave 1.

Wanita itu cedera di bahagian kaki.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan sekitar 9.40 malam dan mengerahkan sebuah Red Rhino, sebuah motosikal bomba dan sebuah ambulans ke tempat kejadian.

Tiada orang terperangkap di dalam lif itu apabila SCDF tiba di tempat kejadian.

Menurutnya seorang wanita dalam lingkungan 30an tahun kemudian dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Encik Zulkiflie Saad, dan lima anggota keluarga beliau termasuk seorang budak perempuan berusia 10 tahun berada di dalam lif berkenaan ketika kejadian berlaku.

Beliau memberitahu Mediacorp mereka sedang menziarahi rumah seorang saudara sempena Hari Raya ini.

Encik Zulkiflie berkata kakaknya masih dirawat di hospital kerana tisu ototnya yang koyak. Anggota keluarga yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.

Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) menyatakan pada hari ini bahawa "demi keselamatan orang ramai, (ia) serta merta mengeluarkan notis untuk menggantung operasi lif itu untuk siasatan lanjut".

Dalam kenyataan dikirimkan melalui emel, seorang jurucakap BCA berkata Majlis Bandaran Jurong-Clementi Town perlu melantik jurutera profesional bebas untuk menyiasat punca insiden berkenaan dan menyerahkan laporan dengan kerja-kerja baik pulih yang disarankan kepada BCA.

- CNA/ru

Top