Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sifat ihsan, tekad, berdaya bingkas bolehkan orang Melayu capai kemajuan, atasi cabaran

Sebelum ucapan bermula, DPM Teo sempat bertemu dengan para individu Melayu/Islam yang cemerlang dalam bidang masing-masing, termasuk bidang akademik, ukhrawi dan juga sukan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Jul 2017 09:27PM Dikemas Kini : 07 Jul 2017 09:51PM

SINGAPURA: Semangat belas ihsan, tekad dan berdaya bingkas masyarakat Melayu/Islam, mendapat tumpuan utama Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, di Majlis Perjumpaan Hari Raya Tahunan Menteri, di hotel Marina Mandarin Singapore, malam ini (7 Jul).

Dr Yaacob menekankan ciri-ciri keperibadian masyarakat Melayu/Islam itu membolehkannya mencapai kemajuan dalam banyak bidang dan mengatasi cabaran sejak bertahun-tahun lepas.

Berucap di hadapan 400 tetamu terdiri daripada para pemimpin masyarakat dan pertubuhan, para Duta, pegawai tinggi asing serta golongan karyawan, Dr Yaacob menarik perhatian, meskipun dilanda pelbagai ujian getir, masyarakat Melayu/Islam tetap bersatu dan tidak mudah goyah.

Merujuk kepada ancaman pengganasan, masyarakat Melayu/Islam tegas beliau, menanganinya dengan berganding bahu dan melangkah ke hadapan dengan membina beberapa institusi penting yang memupuk keharmonian Singapura.

"Semangat perpaduan yang kita nikmati selama ini lah, menjadi antara tunggak kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat majmuk Singapura yang menyanjung tinggi budaya berbilang kaum.

"Sikap tabah dan kecekalan masyarakat kita walaupun dilanda pelbagai ujian getir, membuat masyarakat Melayu/Islam bersatu dan tidak mudah goyah.

"Contohnya ketika masyarakat digegarkan dengan ancaman Jemaah Islamiah dan terrorisma lebih 15 tahun lalu, kita berganding bahu dan melangkah ke hadapan dengan membina beberapa institusi penting yang memupuk keharmonian Singapura seperti Pusat Harmoni, Yayasan Rahmatan lil Alamin dan Pusat Pemulihan Keagamaan (RRG).

"Nilai berdaya tahan ini telah membolehkan kita mencapai banyak kemajuan," ujar Dr Yaacob.

Masyarakat Melayu/Islam kini menikmati kemajuan memberangsangkan dari segi pendidikan, ekonomi, kestabilan institusi keluarga dan kehidupan beragama kita.

Hari ini, menurut Dr Yaacob, kita dapat berbangga dengan pencapaian ramai anak-anak Melayu/Islam kita yang menempa nama dalam pelbagai bidang di persada dunia.

Ada di antara mereka hadir di majlis itu pada malam ini. Pencapaian mereka adalah sesuatu yang mungkin tidak dapat dibayangkan pada suatu masa dahulu.

Apa yang jelas, kita menaruh harapan besar ke atas golongan muda ini untuk memacu kejayaan masyarakat yang seterusnya pada masa hadapan, tambah Dr Yaacob.

Namun, Singapura tidak terlindung daripada pelbagai cabaran termasuk ancaman radikalisme, fahaman ekstrimis dan unsur pengganasan.

"Masyarakat kita tersentak dan teramat kecewa setelah mendapat tahu tentang penangkapan tiga individu Muslim yang terpesong setelah menjadi radikal secara sendiri," katanya.

Dr Yaacob menambah insiden itu mengingatkan kita bahawa kita tidak mempunyai pilihan selain menggandakan kerjasama antara pihak keluarga, masyarakat dan pemerintah demi membasmi ancaman itu.

"Kita memerlukan strategi bersepadu yang boleh membimbing masyarakat kita dengan berkesan, sesuai dengan perkembangan serantau dan global," tegas beliau.

Majlis Perjumpaan Hari Raya itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean selaku tetamu terhormat.

Sebelum ucapan bermula, DPM Teo sempat bertemu dengan para individu Melayu/Islam yang cemerlang dalam bidang masing-masing, termasuk bidang akademik, ukhrawi dan juga sukan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan