Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti Fatris: Para pemimpin agama berbeza harus berdiri teguh, sama-sama tangani pengganasan

Para pemimpin agama lebih muda juga dibawa sama ke majlis ini demi memastikan setiakawan yang sudah dibina selama ini mereka warisi juga bagi memupuk keharmonian kaum di negara ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram menekankan peri pentingnya para pemimpin agama-agama berbeza berdiri teguh menentang ancaman pengganasan yang begitu nyata.

Ini kerana, walaupun masyarakat Muslim yang kini terdedah kepada bahaya pengganasan dan radikalisme, masyarakat bukan Muslim juga mungkin menjadi bingung, sehingga berfikir bahawa agama Islamlah akar kepada masalah tersebut.

Ini tekan Mufti, boleh menimbulkan satu lagi bahaya – iaitu orang bukan islam mungkin menganggap jiran-jiran muslim mereka dengan syak wasangka.

Dr Fatris Bakaram berucap demikian kepada sekitar 40 pemimpin agama bukan Islam di majlis perjumpaan Hari Raya anjuran beliau sebagai Mufti, di Pusat Harmoni Masjid An-Nahdhah lewat petang tadi.

Dalam majlis ini, Dr Fatris memberi jaminan kepada para pemimpin agama bukan Islam bahawa MUIS sedang bekerja keras dengan pelbagai agensi dan rakan, untuk menangani isu pengganasan di negara ini.

MUIS katanya, maklum bahawa cabaran pengganasan dan radikalisme kini semakin besar, namun pelbagai langkah sudahpun diambil demi mengawal gejala tersebut.

Misalnya, masyarakat islam tempatan sudahpun melaksanakan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) bagi memastikan bahawa ajaran-ajaran yang sempit atau ‘exclusivist’, mengajar keganasan, atau menentang kepentingan masyarakat berbilang agama dan berbilang bangsa di Singapura, ditolak.

Dr Fatris memberi jaminan bahawa ajaran sedemikian tidak akan diberi ruang untuk mempengaruhi masyarakat Islam tempatan.

Dalam menangani cabaran pengganasan ini, Dr Fatris menekankan pentingnya golongan belia didampingi dengan mendalam.

"Golongan khusus yang perlu kita berikan perhatian bersama adalah golongan belia kita. Generasi muda harus dipersiapkan untuk merasakan mereka mempunyai tempat dalam negara, dalam masyarakat dan turut serta untuk membina satu masa depan bersama. Maka itu dalam majlis hari ini, kami menekankan kepada ketua agama untuk melibatkan juga pelapis mereka," ujar beliau.

Presiden Majlis Kebangsaan Gereja-Gereja Biskop Rennis Ponniah berkata: "Jadi majlis bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri ini, kami diminta untuk membawa seseorang yang muda bersama kami. Jadi ini adalah satu langkah yang baik di mana mereka boleh mengalami bagaimana anda boleh mempunyai sistem-sistem kepercayaan yang berbeza tetapi terus menjadi teman yang boleh bercakap dan mempunyai persamaan dan juga mempunyai kegiatan bersama, terutamanya dalam usaha membangunkan negara."

(Gambar-gambar: MUIS)

"Di Singapura, usaha berbilang agama sudah dijalankan bertahun-tahun lamanya dan saya rasa amat baik melihat para ketua belia kanan dan juga mereka yang lebih muda di sini, dan saya rasa kesinambungan ini penting untuk kita terus bekerjasama bagi mengekalkan keharmonian di Singapura dan di rantau ini," kata Venerable Chuan Guan dari Persekutuan Buddha Singapura.

Majlis hari ini lebih istimewa kerana adanya usaha untuk membina kesinambungan persefahaman yang dinikmati para pemimpin agama lebih tua.

Para pemimpin agama lebih muda juga dibawa sama ke majlis ini demi memastikan setiakawan yang sudah dibina selama ini mereka warisi juga bagi memupuk keharmonian kaum di negara ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan