Ramadan & Syawal 2017

Images
  • zumba hari raya
    Sekumpulan wanita bersenam semasa Hari Raya. (Gambar: BERITAMediacorp)

Habis sudah puasa, kini tubuh anda kian 'naik lemak' Hari Raya?

SINGAPURA: Dalam kegembiraan meraikan Syawal, janganlah penyakit juga datang bertandang.

Pakar-pakar kesihatan yang ditemui BERITAMediacorp menasihatkan bahawa semasa Hari Raya ini pemakanan yang seimbang dan senaman ringan harus diberikan perhatian, demi mengelakkan diri daripada beberapa penyakit serius.

HANGAT-HANGAT TAHI AYAM?

Ramai yang berazam untuk menurunkan berat badan semasa bulan Ramadan.

Misalnya dengan makan secara sihat, berhenti merokok dan melakukan senaman ringan.

Namun ibarat hangat-hangat tahi ayam, apabila Syawal tiba fokus dan disiplin sebilangan orang dalam pemakanan sihat, nampaknya ditolak ke tepi.

Bagi memastikan rutin sihat yang dipraktikkan semasa Ramadan dapat diterapkan semasa Hari Raya ini, pakar-pakar berpendapat gaya hidup sihat itu disarankan untuk diteruskan secara konsisten pada Hari Raya ini.

Pakar Pemakanan & Pensyarah Fisiologi Kesukanan, Abidah Mahmood berkata: "Kita mesti ingat bahawa sudah sebulan kita berpuasa, kita telah menjaga kesihatan kita, jadi cuba ingatkan apabila kita berpuasa, kita tidak mahu haus sepanjang hari, jadi kita paksa diri kita untuk meminum air dengan secukupnya, kenapa tidak pada bulan syawal ini kita teruskan perkara-perkara sebegini, tabiat-tabiat yang sihat sebegini."

TUAN RUMAH JUGA MAINKAN PERANAN

Cik Abidah, yang mesra dipanggil Dee Dee, juga menyarankan supaya semasa memasak untuk tetamu, kurangkanlah minyak dan gula.

"Mungkin sebagai tuan rumah, bila kita hendak hidangkan ataupun masak masakan raya, kita boleh prihatin tentang kandungan minyaknya, janganlah sampai berladuh minyak, ataupun kandungan gula yang terlalu banyak dan sebagainya, mungkin kita boleh gantikan.

"Kalau misalan kita bercakap tentang gula, kita boleh gantikan dengan serbuk kayu manis, bukanlah gula putih, tetapi mungkin gula perang yang sihat, ataupun kalau ingin masak dengan berlemak mungkin, kuah lodeh kita kalau santan yang terlalu banyak, mungkin kita boleh gantikan dengan setengah susu rendah lemak, jadi itu menyihatkan lauk pauk kita," ujar Cik Abidah.

Di antara saranan lain untuk menyingkirkan gula dan makanan berlebihan sewaktu bulan perayaan ini ialah dengan melakukan senaman dengan kerap.

JANGAN LUPA SENAMAN

Satu lagi perkara yang tidak harus diabaikan semasa musim kunjung mengunjung Syawal ini ialah senaman.

Senaman Zumba menjadi pilihan sekumpulan wanita, malah dilakukan dengan lebih kerap pada bulan Syawal, untuk memastikan bahawa tubuh mereka 'tidak naik lemak'.

Pengasas Rhythm Fitness Rafidah Sani berkata: "Pada pendapat saya, senaman Zumba ini memberikan banyak manfaat, lagi-lagi bulan Syawal ini kerana kita selalunya makan berlebihan, dengan lontong, dengan kuih-muih, jadi masa-masa inilah buat senaman Zumba baik, untuk kesihatan"

Cik Abidah pula memberi amaran, bahawa terlalu banyak makan boleh mengakibatkan pedih ulu hati dalam perut sekaligus mengakibatkan kembung pada perut.

"Kita kadang-kadang bila kita makna terlalu banyak sekali, Tubuh kita ini sudah tidak boleh terima kerana sudah terlalu banyak di dalam ini an, jadi kadang-kadang itu yang mendatangkan kembung perut, atau refluks asid, iaitu kadang-kadang rasa macam nak termuntah," jelas beliau. 

- BERITAMediacorp/ru

Top