Ramadan & Syawal 2017

Images
  • maliki brunei
    Dr Maliki Osman bertemu dengan Sultan Brunei di Istana Nurul Iman sempena Hari Raya. (Gambar: MFA)

Dr Maliki bertemu Sultan Hassanal Bolkiah di Brunei dalam lawatan Hari Raya

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman menggulung lawatan Hari Raya selama lima hari ke Brunei, yang sekaligus mengesahkan lagi hubungan persabahatan yang hangat antara kedua-dua negara.

Demikian menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Jumaat (30 Jun). Kunjungan tersebut dibuat dari 26 Jun hingga semalam (30 Jun).

Dr Maliki melakukan lawatan ke Istana Nurul Iman pada Selasa (27 Jun) dan secara peribadi menyampaikan ucapan Hari Raya para pemimpin Singapura kepada Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Beliau juga bertemu dan menyampaikan ucapan Hari Raya kepada kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan keluarga mereka yang menetap di Brunei.

Menurut MFA, Dr Maliki juga menghadiri majlis-majlis Rumah Terbuka para menteri, timbalan menteri dan personaliti kanan kerajaan Brunei dan dihoskan kepada satu jamuan sarapan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar dan Perdagangan Brunei Lim Jock Seng.

Bagi acara Rumah Terbuka Hari Raya, yang dihadiri para pemimpin dan pegawai kanan Brunei, anjuran Suruhanjaya Tinggi Singapura di Brunei, Dr Maliki juga diundang selaku Tetamu Terhormat.

Beliau diiringi isteri beliau Cik Sadiah Shahal, Setiausaha Kanan Parlimen Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan isterinya Cik Hayati Haron dan juga Datuk Bandar CDC Tenggara Encik Desmond Choo. 

- BERITAMediacorp/ru

Top