Ramadan & Syawal 2017

Images
  • AMAL book
    Set buku 'Aminah & Ali Welcome Ramadhan'. (Gambar-gambar: laughplaylearnsg)

'Aminah & Ali welcome Ramadhan' cetusan idea pasangan suami isteri bagi bantu anak kecil fahami konsep puasa

SINGAPURA: Apa itu bulan Ramadan dan terawih? Mengapa kita mesti berpuasa? Bilakah kita boleh berbuka puasa?

Ini antara soalan-soalan yang biasa dilontarkan oleh anak-anak kecil yang baru berjinak-jinak untuk berpuasa.

Persoalan-persoalan di minda mereka ini perlu dijawab dengan jelas dan mudah difahami oleh kanak-kanak seusia mereka.

Menyedari hakikat itu, sepasang suami isteri - Encik Nuriskandar Mohd Kassim dan Cik Zhulaiha Abdul Rahim - mengambil langkah menerbitkan buku bergambar tentang bulan Ramadan untuk golongan sedemikian - yang pertama dihasilkan di Singapura.


Encik Nuriskandar bersama isteri dan anak mereka. (Gambar: Nuriskandar)

BERITAMediacorp diberitahu, buku bahasa Inggeris bertajuk 'Aminah & Ali Welcome Ramadhan' (Aminah dan Ali menyambut Ramadan) ini mengisahkan pengalaman dua beradik, Aminah dan Ali, menjalani ibadah puasa.

Buku ini dikhaskan untuk kanak-kanak bawah usia tujuh tahun dan mengandungi jalan cerita yang mudah difahami dan dapat menarik minat si cilik menerusi lukisan berwarna-warni yang ceria dan comel.

Yang menariknya, selain mengetengahkan elemen-elemen penting seperti konsep sahur, iftar dan Lailatul Qadar, pasangan suami isteri itu turut menerapkan ciri-ciri Singapura seperti lukisan Masjid Sultan, kuih-muih dan baju kurung.


Menurut Encik Nuriskandar: "Kami menghasilkan buku ini dengan harapan untuk menyumbang secara positif kepada landskap sastera kanak-kanak setempat."

"Mengambil inspirasi daripada buku kanak-kanak bertemakan Ramadan yang diterbitkan di negara lain, kami berharap buku kami ini dapat mewakili perspektif masyarakat Melayu/Islam setempat dalam memaparkan pengalaman unik menyambut Ramadan yang dialami oleh masyarakat Melayu/Islam Singapura," Encik Nuriskandar memberitahu BERITAMediacorp.

Inilah kali pertama Encik Nuriskandar dan isteri, kedua-duanya berusia 34 tahun menghasilkan buku kanak-kanak dan mereka akan terus menerbitkan lebih banyak buku sedemikian.

"Ini kali pertama kami menghasilkan buku. Kami ada rancangan untuk menerbitkan buku-buku lain dan menjadikan ini buku pertama dalam siri buku Aminah & Ali," kata Encik Nuriskandar, sambil menambah versi bahasa Melayu akan dilancarkan sekali dengan buku kanak-kanak mengenai Aidiladha pada Hari Raya Haji nanti.


Buku 'Aminah & Ali Welcome Ramadhan' boleh dibeli pada harga $15 setiap satu.

Buku itu juga dijual secara set, sama ada dengan senaskhah buku kegiatan pada harga $25 atau kotak kegiatan pada harga $50.

Kotak kegiatan tersebut mengandungi buku 'Aminah & Ali Welcome Ramadhan', permainan papan, kad-kad doa, Carta Ramadan, bahan-bahan kraf tangan untuk membuat tabung sedekah dan lain-lain.


"Untuk melanjutkan lagi pengalaman pembelajaran, kami juga menghasilkan buku aktiviti serta kotak aktiviti yang bertema dan berlatarbelakangkan buku ceritanya.

"Sebagai ibu bapa kepada tiga orang anak kecil yang berusia antara 2 dengan 5 tahun, kami juga peka terhadap kekurangan bahan pembelajaran hasil tempatan yang dapat menarik minat demografik ini. Buku dan kotak aktiviti kami bertujuan membantu para ibu bapa dengan kanak-kanak yang baru berjinak-jinak untuk berpuasa," ujar Encik Nuriskandar.

Sejak dilancarkan pada 1 Ramadan lalu, sekitar 30 set buku tersebut sudahpun dijual.

Butiran lanjut mengenai buku itu boleh diperolehi menerusi laman http://laughplaylearn.sg. 

- BERITAMediacorp/nk

Top