Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aidilfitri yang lebih ceria bagi seorang mualaf ibu tunggal yang kini ada keluarga angkat

Hari Raya Aidilfitri tidak lagi disambut hanya sehari bahkan diraikan sepanjang Syawal dengan penuh kemeriahan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Aidilfitri yang lebih ceria bagi seorang mualaf ibu tunggal yang kini ada keluarga angkat

Cik Suhana Ng dengan empat orang anaknya bersama keluarga anak angkat mereka. (Gambar: Erwin Yuhanis Yunahar)

SINGAPURA: Hari Raya Aidilfitri tidak lagi disambut hanya sehari bahkan diraikan sepanjang Syawal dengan penuh kemeriahan.

Begitulah bezanya sambutan lebaran bagi seorang mualaf berstatus ibu tunggal, setelah bertemu dengan sebuah keluarga Muslim yang kini menjadi keluarga angkatnya.

MULA ERAT SEJAK 3 TAHUN LALU

Jika sebelum ini mereka hanya beraya berlima - kini Cik Suhana Ng serta empat orang anaknya sibuk kunjung berkunjung sepanjang Syawal, bersama keluarga besar Encik Erwin Yuhanis Yunahar serta isteri Cik Kamisah atau Kay Lim.

"Sambutannya memang tidak henti-henti kerana kita mempunyai begitu banyak sekali ahli keluarga untuk dikunjungi. Jadi ia amat menyeronokkan, sangat bersemangat dan saya amat menanti-nantikan untuk berkunjung ke semua rumah-rumah itu bersama nanti," kata Cik Suhana.

Dua keluarga ini mula berhubung tiga tahun lalu di bulan Ramadan.

Ketika itu Cik Suhana dibelenggu masalah peribadi dan menjadi penjaga tunggal kepada keempat-empat anaknya yang masih bersekolah.

Prihatin tentang kebajikan mereka, Cik Kay yang merupakan rakan lama Cik Suhana, dan juga Encik Erwin mula merapatkan diri dengan mereka.

"Setiap minggu kami akan keluar bersama dan semakin lama, hubungan kami semakin rapat dan kami menganggap semua sebagai keluarga sendiri," kata Encik Erwin.

(Gambar: Erwin Yuhanis Yunahar)

LANGKAH PERTAMA DIPERSOALKAN

Setelah setahun, pasangan suami isteri ini bercadang untuk menjadikan keluarga Cik Suhana sebagai keluarga angkat dan tinggal bersama.

Namun ia menimbulkan pelbagai persoalan dari kedua-dua belah keluarga.

"Mereka banyak menanyakan, “Mengapa?” Jadi saya menjelaskan kepada mereka bahawa kami berdua, saya dan isteri saya, agak prihatin terhadap anak-anak Suhana dan ingin membantu mereka jadi dapat memberikan mereka pendidikan yang baik dan sokongan. Jadi selepas mendengar penjelasan itu, mereka mula menerima mereka dengan hati yang terbuka," tambah Encik Erwin.

Berkat restu orang-orang terdekat - tahun ini merupakan kali kedua mereka beraya bersama.

Meskipun agak janggal pada mulanya, Cik Suhana akui, sambutan Ramadan dan Syawal kini lebih bermakna untuk beliau sekeluarga.

"Pengalaman pada tahun ini tidak dapat dilupakan kerana kita menjalani solat tarawih bersama di rumah pakcik mereka sendiri. Selalunya, kita melakukannya di masjid jadi ini pengalaman pertama di rumah, menjalaninya bersama ahli keluarga yang lain," ujar Cik Suhana.

Dan pastinya, bagi Cik Suhana sekeluarga, Syawal kini tidak lagi diraikan hanya sehari, bahkan dinikmati sepanjang bulan di samping keluarga besar tersayang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan