Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti gesa asatizah tolak gejala kafir mengkafir dan pemikiran agama bersifat mutlak

Dr Fatris menggesa asatizah menolak gejala saling mengkafirkan sesama Muslim serta pemikiran agama bersifat mutlak yang menganggap hanya segolongan Muslim sahaja yang berhak menjadi ahli syurga. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Jul 2016 07:15PM Dikemas Kini : 28 Jul 2016 11:03PM

SINGAPURA: Masyarakat Islam Singapura perlu menolak pemikiran agama yang menyatakan seseorang Muslim tidak boleh hidup dalam negara berbilang kaum, lebih-lebih lagi jika pandangan itu menjurus kepada kekerasan dan pengganasan.

Itulah antara tiga batasan yang ditekankan Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram, dalam menangani kerencaman di kalangan masyarakat Islam Singapura

Beliau berucap di satu acara perjumpaan Hari Raya yang turut dihadiri para asatizah tempatan.

Satu lagi batasan yang disebutkan Dr Fatris ialah penolakan gejala saling mengkafirkan sesama Muslim serta pemikiran agama bersifat mutlak yang menganggap hanya segolongan Muslim sahaja yang berhak menjadi ahli syurga.

Beliau turut menyeru masyarakat Islam tempatan supaya menolak pemikiran agama yang boleh menimbulkan lebih masalah serta yang melarang masyarakat Islam daripada berinteraksi, bermasyarakat dan berhubungan baik dengan golongan dari agama lain.

Tambah beliau, tindakan tegas perlu diambil sekiranya mana-mana pihak cuba melanggar batasan sedemikian.

Lebih 2,500 asatizah yang bertauliah di negara ini antara lebih 4,500 tenaga ahli pelbagai bidang agama yang membimbing masyarakat Singapura. (Gambar fail: MUIS)

Dr Fatris juga menyifatkan golongan yang cenderung terhadap impian kumpulan pengganas seperti ISIS, yang mengidamkan sebuah negara yang kononnya bercorak Islamik,sebagai “menangguk di air keruh” dan menanam racun di dalam minda generasi muda Islam yang mahukan huraian segera kepada segala masalah kehidupan.

Beliau menerangkan, itu merupakan pemikiran utopia yang bermasalah dan akan hanya menambahkan kebingungan bahkan bercanggah dengan roh Islam.

Mufti turut mengingatkan para asatizah yang hadir tentang bahayanya amalan “cut and paste” ataupun meniru secara total pengalaman dari luar tanpa saringan dan penelitian yang matang.

Mereka juga diingatkan tentang bahayanya jika berlaku pergeseran di kalangan barisan asatizah yang memainkan peranan utama mencorak kehidupan beragama di Singapura.

Maka itu, Dr Fatris menekankan peri penting mengelakkan perselisihan kerana menurutnya, agama dan tauhid seharusnya menyatukan dan bukan memecah belahkan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan