Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Kalau saya harus pergi, ambil saya secepat mungkin" - Doa Ariffin pesakit barah kritikal depan Kaabah

Bagi menunaikan impian terakhir para pesakit barah, Persatuan Ain telah memulakan satu program dipanggil 'Di Hujung Pelangi'.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Jul 2016 09:55PM Dikemas Kini : 09 Jul 2016 07:41PM

BERITAMediacorp: Bagi menunaikan impian terakhir para pesakit barah, Persatuan Ain telah memulakan satu program dipanggil 'Di Hujung Pelangi'.

Ia bertujuan memberi keceriaan dan harapan kepada para pesakit, selain menyuntik semangat untuk terus melawan penyakit mereka.

BERITAMediacorp menemui dua pesakit barah di bawah program itu yang berkongsi pengalaman mereka menyambut raya tahun ini.

Hari raya tahun ini membawa makna lebih mendalam buat Ariffin Abdul Nasir, 23 tahun.

Kunjungan ke rumah sanak-saudara yang sebelum ini dianggap perkara biasa, kini tidak lagi disia-siakannya.

"Tahun ini pergi untuk betul-betul berjumpa dengan semua sebab kita tak tahu kali terakhir ke atau ada peluang lagi," Ariffin memberitahu BERITAMediacorp.

Ramadan lalu, Ariffin serta ibunya juga dapat pergi ke Tanah Suci.

Hasrat itu sudah lama dipendamnya, namun tidak berkesempatan disebabkan oleh penyakit yang dialami.

Pada 2009, Ariffin yang ketika itu berusia 16 tahun, disahkan menghidapi Sarkoma Ewing, sejenis barah tulang.

Beliau disahkan sembuh daripada barah setahun kemudian namun penyakit itu kembali semula pada Mac lalu, dengan ada ketumbuhan baru di bahagian saraf tunjangnya.

Menerusi program 'Di Hujung Pelangi' serta sokongan beberapa penaja, Ariffin akhirnya dapat menunaikan umrah dengan ibunya.

Dimulakan pada tahun lalu, program itu sudahpun menunaikan permintaan dua kliennya, termasuk Ariffin, yang menghidapi barah pada tahap kritikal.

"Bagi kami, jika kami dapat sebanyak mungkin menunaikan permintaan mereka yang terakhir, setidak-tidaknya mereka akan dapat pergi dengan tenang, menghadapi saat-saat akhir mereka dengan ketenangan dan bukan hanya dengan ketenangan tetapi mereka dapat menerima hakikat bahawasanya mereka sudah sampai di penghujung pelangi kehidupan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain Yusof Ismail.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, tujuannya ke Baitullah bukanlah untuk mendoakan supaya sembuh semata-mata.

"Kalau saya harus pergi, ambil saya secepat mungkin dan jika saya diberi peluang kedua untuk hidup lebih lama, lepaskanlah saya daripada kesakitan ini semua," ujar Ariffin.

Muhammad Khairul Ikhwan, yang menghidapi barah kolon tahap empat juga tidak menjadikan penyakitnya itu sebagai alasan untuk tidak beraya tahun ini.

Bahkan Syawal ini, katanya, tetap disambut dengan meriah.

Menurut beliau: "Tahun ini, saya amat bersyukur kerana dapat menemui keluarga sekali lagi untuk menyambut hari raya dan saya juga dapat makan nasi beriani iaitu yang dimasak oleh datuk saya dan juga ayam merah."

Seperti Ariffin, Khairul juga berhajat untuk ke luar negara bersama ibunya.

Permohonannya sedang dinilai dan jika diluluskan, pemuda berusia 22 tahun ini akan ke Jepun bersama ibunya pada Jun tahun depan.

Destinasi itu menjadi pilihan kerana minatnya terhadap budaya, fesyen serta cara kehidupan di sana.

Dan jika diberikan peluang, lulusan seni halus dari NAFA itu juga ingin bertemu pelukis yang diminatinya,Yayoi Kasuma.

"Saya minat padanya kerana dia merupakan sumber yang positif bagi saya kerana macam mana beratpun cabaran yang saya lalui, jangan mengambilnya sebagai sesuatu yang negatif tetapi positif," Khairul memberitahu BERITAMediacorp.

Dan semangat waja itulah yang ditonjolkan beliau sepanjang melawan penyakit tersebut sejak September lalu.

Malah Khairul merancang untuk menggunakan bakatnya bagi membantu kanak-kanak istimewa meluahkan perasaan menerusi hasil karya seni.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan