Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

El Mesaharaty – tukang kejut untuk sahur - tradisi tertua Ramadan di Timur Tengah

Tahukah anda sesetengah negara di Timur Tengah mengamalkan satu tradisi istimewa untuk mengejutkan para penduduk supaya bangun dan bersahur.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Jun 2016 10:59AM Dikemas Kini : 18 Apr 2021 03:54PM

MESIR: Anda mungkin sudah biasa dikejutkan oleh ibu atau mengunci jam untuk bangun pada waktu sahur dalam bulan Ramadan.

Tetapi tahukah anda sesetengah negara di Timur Tengah mengamalkan satu tradisi istimewa di mana khidmat seorang El Mesaharaty digunakan untuk mengejutkan para penduduk supaya bangun dan bersahur.

El Mesaharaty, yang merupakan salah satu tradisi tertua dalam bulan Ramadan, adalah gelaran yang diberi kepada seorang individu yang berjalan di sekitar kawasan kejiranannya setiap awal pagi sambil mengetuk gendangnya atau melaung-laungkan ayat-ayat tertentu bagi mengejutkan para penduduk supaya bangun sahur.

Bagaimanapun, dengan perkembangan teknologi yang kian pesat, tradisi yang terkait rapat dengan bulan Ramadan itu semakin berkurangan, lapor laman Emirates 247.

Hari ini, televisyen, alat mudah alih dan jam loceng mula mengambil alih tugas yang dahulunya hanya dilakukan El Mesaharaty.

EL MESAHARATY PERTAMA

El Mesaharaty begitu popular di kalangan kanak-kanak. Mereka akan mengekori El Mesaharaty setiap hari sehingga beliau selesai menjalankan tugas.

Konsep El Mesaharaty pertama kali diwujudkan pada zaman Abbasiyah, di bawah Khalifah Al Nasser di Mesir.

Pemerintah Mesir pada ketika itu Otbah Ibn Ishaq ialah orang yang pertama yang mengelilingi jalan-jalan raya di Kaherah semasa bulan Ramadan, menurut laman Emitares 247.

Beliau dikatakan menggunakan ayat-ayat puitis, yang mendorong para penduduk untuk bangun dan beribadah.

AMALAN-AMALAN BERBEZA

El Mesaharaty di Oman merupakan yang pertama menggunakan gendang untuk mengejutkan jiran tetangga.

Di Kuwait pula, Abu Tablyah ialah yang pertama dipercayai melaung-laungkan doa yang diulangi oleh kanak-kanak semasa beliau menjalankan tugasnya.

Di Yaman, El Mesaharaty dipercayai menggunakan kayu untuk mengetuk pintu rumah orang.

Manakala di Sudan, El Mesaharaty mengelilingi kawasan bersama-sama kanak-kanak yang mengekorinya sambil melaung-laungkan nama penduduk.

Berlainan pula di Syria, Lubnan dan Palestin, di mana mereka hanya bersiul-siul.

Sementara itu di Arab Saudi, El Mesaharaty mengejutkan orang dengan doa, lapor laman Emirates 247.

EL MESAHARATY WANITA

Seorang pengkaji sosial yang juga merupakan pakar warisan Fatima al Mughny berkata terdapat seorang wanita dari Emiriah Arab Bersatu yang secara sukarela mahu memainkan peranan sebagai El Mesaharaty.

Menurut Cik Fatima, tanpa menunggu upahnya, setiap pagi wanita itu akan mengetuk gendang dan mengelilingi jalan-jalan raya untuk mengejutkan jiran-tetangga supaya bersahur.

DI TURKI, ALI BULDU SERONOK JADI TUKANG KEJUT SAHUR

Bagi kebanyakan orang, kemunculan El Mesaharaty yang bernama Ali Buldu menandakan bulan Ramadan sudahpun tiba.

Ali, 50 tahun, yang mengenakan pakaian tradisional Turki serba lengkap, sudahpun menjalankan tugas sebagai tukang kejur sahur separuh hidupnya.

Menurut Ali, tugas sebagai El Mesaharaty itu adalah sesuatu yang amat dihargainya, sama seperti nenek moyangnya dan kini beliau mahu menurunkan tradisi itu kepada generasi muda.

Sekitar 2,000 El Mesaharaty berjalan mengelilingi kawasan kejiranan Istanbul sepanjang bulan Ramadan untuk mengejutkan jiran tetangga supaya bangun bersahur.

Menurut Ali, beliau dan saudara maranya menyara hidup dengan bermain muzik di acara-acara dan majlis perkahwinan, namun dalam bulan Ramadan mereka bergantung kepada kemurahan hati orang-orang sekeliling untuk bertahan.

"Semasa Ramadan, kami tidak ada kerja kerana tidak ada orang yang mengadakan majlis perkahwinan," beliau memberitahu AP.

Apa yang menjadi kebimbangannya kini adalah sikap anak-anak muda yang tidak minat menggalas tanggungjawab sebagai El Mesaharaty.

Beliau risau sekiranya tradisi El Mesaharaty akan pupus satu hari nanti digantikan oleh jam-jam loceng.

USAHA TARIK MINAT LEBIH RAMAI ORANG

Lima tahun lalu, pakaian tradisi Turki mula diperkenalkan untuk El Mesaharaty dan kini kad-kad keahlian juga diadakan bagi sesiapa yang mahu menjadi El Mesaharaty dan membantu memperluas rangkaiannya di bandar itu.

Meskipun pakaian tradisi yang diperkenalkan berjaya mengembalikan rasa bangga terhadap tradisi tertua Ramadan, ia masih sukar untuk menarik rekrut-rekrut baru.

Pendapatan yang diraih menerusi tugas sebagai tukang kejut sahur tidaklah besar.

Meskipun begitu, jumlah El Mesaharaty sudah bertambah dari sekitar 900 kepada 2,000 sejak tiga tahun lalu. 

Sumber : AP/Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan