Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Maliki Osman kunjungi hampir 30 rumah semasa Berhari Raya di Brunei

Mengunjungi hampir 30 buah rumah pembesar dan orang-orang kenamaan, dalam masa tiga hari sahaja!

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Mengunjungi hampir 30 buah rumah pembesar dan orang-orang kenamaan, dalam masa tiga hari sahaja!

Itulah yang dilakukan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pertahanan, Dr Mohamad Maliki Osman di Brunei Darussalam.

Beliau kini dalam rangka lawatan muhibbah Hari Raya Aidilfitri ke Brunei selama empat hari bermula semalam (7 Jul).

Dr Maliki, Amrin Amin bertemu Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah. (Gambar: Facebook Dr Maliki Osman)

(Gambar: Facebook Dr Maliki Osman)

Semalam beliau berkunjung ke Istana Nurul Iman untuk bertemu dengan Sultan Brunei, iaitu Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya dari kepimpinan Singapura. Beliau kemudian melawat enam buah rumah para pembesar Brunei lainnya.

Dr Maliki ditemani isterinya Cik Sadiah Sahal dan dua Setiausaha Parlimen iaitu Amrin Amin (MHA) dan Baey Yam Keng (MCCY).


(Gambar: Facebook Amrin Amin)

Hari ini (8 Jul) pula, Dr Maliki dan rombongannya berkunjung ke 11 buah rumah para pembesar Brunei termasuk para Menteri dan Timbalan Menteri, selain para pegawai kanan kerajaan tersebut.

Esok, Dr Maliki dijadual bertandang ke lagi 10 buah rumah para pembesar Brunei!

Demikian didedahkan Dr Maliki kepada BERITAMediacorp.

Beliau berseloroh, di Singapura sendiri sukar untuk beliau mengunjungi lebih daripada 10 buah rumah dalam masa dua hari.

(Gambar: Facebook Dr Maliki Osman)

Namun yang pasti, Dr Maliki menekankan bahawa lawatan tersebut menegaskan lagi hubungan dua hala istimewa yang cemerlang dan sudah sekian lama terjalin. Ini juga kali keempat beliau menyertai kunjungan Hari Raya ke Brunei.

Lebih menarik lagi, rombongan beliau bukan sahaja melawat para Menteri Brunei yang sedang menyandang jawatan atau para Menteri baru, tetapi juga bertemu dengan para mantan menteri di negara itu. Ini dalam usaha mengekalkan hubungan baik antara kepimpinan kedua-dua negara.

Dr Maliki, yang mula menyandang jawatan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar sejak hampir dua tahun lalu, berkongsi pemerhatian beliau tentang Lebaran di Brunei:

"Perayaan di Brunei merupakan satu perayaan yang agak unik, bukan sahaja dari segi kunjung mengunjung ini. Jika kita lihat konsep Rumah Terbuka, benar-benar Rumah Terbuka kerana saya tahu selepas empat tahun melihat bagaimana ia dirayakan, ramai di antara sanak-saudara, sahabat-handai dan juga jiran-tetangga dengan senang mengunjungi antara satu sama lain.

"Ia menunjukkan tali persaudaraan dan ukhwah antara para penduduk. Kita lihat juga eratnya perhubungan antara rakyat dengan Raja di mana kita melihat bagaimana Sultan setiap tahun berdiri bersalaman dengan rakyat."

(Gambar: Facebook Dr Maliki Osman)

MELAWAT ASKAR SINGAPURA DI BRUNEI

Semasa berada di Brunei, Dr Maliki, yang memegang portfolio Kementerian Pertahanan sejak hampir tiga tahun lalu, juga akan meluangkan masa untuk ke Kem Jalan Aman.

Beliau akan melawat askar-askar Singapura yang sedang menjalani latihan dan berpangkalan di Brunei esok (9 Jul).

Pada hari terakhir lawatan beliau di Brunei Ahad nanti, Dr Maliki akan menjadi tetamu terhormat Rumah Terbuka Hari Raya, anjuran Suruhanjaya Tinggi Singapura di Brunei. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan