Skip to main content

Iklan

Iklan

500 keluarga kurang berkemampuan terima juadah Hari Raya

Anjuran Badan Agama dan Pelajaran Radin Mas (BAPA), usaha itu dijayakan hasil derma masyarakat tempatan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 500 keluarga kurang berkemampuan juga turut menerima juadah Hari Raya pada Selasa (5 Julai).

Anjuran Badan Agama dan Pelajaran Radin Mas (BAPA), usaha itu dijayakan hasil derma masyarakat tempatan.

Wartawan BERITAMediacorp sempat mengikuti rombongan sukarelawan BAPA menghantar juadah kepada para penerima.

Sebut sahaja Hari Raya, pasti juadah yang terbayang adalah lauk lodeh, rendang, ketupat dan sebagainya.

Namun disebabkan kesempitan hidup, tidak semua orang dapat merasakan makanan khas seperti itu.

Lantaran itu, usaha BAPA menyediakan hidangan Hari Raya diharap dapat memberi keceriaan kepada para penerima.

"Kami dapati bahawa tidak semua fakir miskin di Singapura, mereka memiliki bahan-bahan kering yang cukup untuk menyiapkan juadah Hari Raya mereka atau peralatan dapur yang cukup untuk memasak. Jadi dengan juadah Hari Raya ini, kami harapkan kami dapat meringankan beban penerima untuk dapat menikmati juadah hari raya mereka," kata Pengurus Projek Adita Tian Permata Sari.

Setiap set hidangan tersebut mengandungi lima jenis lauk termasuk ayam masak merah, sambal udang dan juga rendang. Selain juadah Hari Raya, mereka juga bakal menerima sedikit kuih-muih juga keperluan asas seperti air dan beras. Dan kesemua itu berharga $80 hasil sumbangan orang ramai dan ia cukup untuk lima orang sekeluarga.

Malah, sifat menderma di kalangan masyarakat Melayu/Islam cukup tebal sehinggakan lebih banyak keluarga dapat dibantu.

"Pada awalnya kami hanya menyasarkan untuk 200 keluarga sahaja tetapi kami mendapat maklum balas yang sangat baik dari masyarakat Singapura hingga kami dapat menolong 500 keluarga fakir miskin di Singapura ini," tambah Adita.

Bagi Cik Jamilah Yahya, sekurang-kurangnya dengan juadah yang diberi, dapat beliau merasa makanan yang istimewa di pagi Syawal.

"Kalau tak ada mereka, kita tak merasa tiap-tiap hari makan sedap-sedap, hendak beli pun bukan murah sekarang. Lagi dengan gaji kita yang tak seberapa ini," kata seorang penerima habuan itu Cik Jamilah Yahya.

BAPA berharap Inisiatif itu yang masuk tahun ketiga akan dapat diteruskan pada masa depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan