Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Umat Islam S'pura cekal hati harungi pandemik; Mufti yakin kita akan raih kemenangan rohani

Anggaplah penularan COVID-19 yang kembali meningkat sebagai satu lagi ujian dan peluang untuk mempertingkatkan lagi daya tahan kita untuk meraih kemenangan rohani. 

Anggaran Waktu Membaca:
Umat Islam S'pura cekal hati harungi pandemik; Mufti yakin kita akan raih kemenangan rohani

Masjid Darul Ghufran mengagihkan 300 paket bubur di pekarangan masjid hari pertama Ramadan (13 Apr). (Gambar: Ira Musfirah)

SINGAPURA: Anggaplah penularan COVID-19 yang kembali meningkat sebagai satu lagi ujian dan peluang untuk mempertingkatkan lagi daya tahan kita untuk meraih kemenangan rohani.

Demikian nasihat Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir kepada seluruh umat Islam Singapura selepas langkah-langkah pengurusan selamat diperketatkan bagi membendung jangkitan baru dan penularan lanjut COVID-19 ekoran kemunculan kelompok baru dan peningkatan pada jumlah jangkitan dalam kalangan masyarakat tempatan baru-baru ini.

Memandangkan langkah-langkah lebih ketat itu akan dikuatkuasakan mulai 8 Mei, ia akan menjejas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Memang kita sedih dan kecewa tetapi realitinya adalah kita masih dalam situasi pandemik,” ujar beliau dalam rancangan Sembang Malam Ramadan yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook dan YouTube SalamSG TV semalam (5 Mei).

Namun, ini tidak bermakna kita harus mengalah, tegas Dr Nazirudin.

Sebaliknya, situasi yang dihadapi ini boleh dijadikan sebagai satu lagi “peluang” untuk umat Islam di sini melatih diri.

Menjelaskan lanjut, beliau turut mengajak masyarakat merenung kembali “latihan” yang dilalui sepanjang lebih setahun lalu dalam menempuhi pelbagai cabaran pandemik COVID-19.

Katanya lagi, tempoh tersebut mendidik umat Islam supaya terus bersabar dan menguatkan lagi tekad masing-masing,.

“Kita lebih bersedia untuk menempuh lebih banyak ujian,” kata Mufti.

Malah, Mufti juga yakin jika umat Islam memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk menguatkan lagi daya tahan mereka, ia mampu mengatasi banyak lagi cabaran lain pada masa akan datang.

RAI KEMENANGAN ROHANI

Mufti Dr Nazirudin turut mengingatkan umat Islam bahawa matlamat utama sambutan Aidilfitri adalah untuk meraikan kemenangan rohani.

Justeru, kesabaran dan ketabahan yang diuji dalam menangani situasi COVID-19 lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini tidak sia-sia, bahkan ia bakal menjadi satu kejayaan yang wajar diraikan apabila tiba Syawal kelak.

Dr Nazirudin juga menasihatkan umat Islam supaya berlapang dada dan melihat kepada aspek-aspek positif dalam sambutan tahun ini.

Sebagai contoh, berbanding tahun lalu, umat Islam Singapura boleh ziarah-menziarahi meskipun terbatas disebabkan oleh pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat yang hanya membenarkan lima pengunjung dalam sehari.

“Semua perkara ada baik, ada kekurangannya. Jadi sebagai satu sifat kita yang beriman ini, kalau boleh, apa pun situasi kita, fokus pada yang positif,” ujar beliau.

JADI DUTA AGAMA BERTANGGUNGJAWAB

Mufti juga menekankan betapa pentingnya sifat bertanggungjawab atas keselamatan orang lain.

Sedang umat Islam menyambut Aidilfitri, beliau menggesa setiap anggota masyarakat supaya terus mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat bagi membendung penularan lanjut COVID-19, terutamanya varian baru yang lebih mudah berjangkit dan berbahaya.

Malah, dengan berbuat demikian, umat Islam bukan sahaja menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat dan negara tetapi juga memainkan peranan sebagai duta agama, kata Dr Naziruddin.

Menurut Mufti lagi, melalui sifat bertanggungjawab inilah, “orang lain akan mengenali agama kita sebagai agama yang penuh kesejahteraan, Insya Allah.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan