Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Umat Islam merata dunia sambut Ramadan kali kedua di tengah-tengah pandemik

Bagi Ramadan tahun ini, besar harapan Magdy Hafez untuk kembali melakukan ibadah yang sangat dirinduinya: Iaitu sekali lagi menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid.

Anggaran Waktu Membaca:
Umat Islam merata dunia sambut Ramadan kali kedua di tengah-tengah pandemik

(Gambar hiasan: Ahmad Gharabli/AFP)

Diterbitkan : 13 Apr 2021 12:40AM Dikemas Kini : 13 Apr 2021 12:42AM

KAHERAH: Bagi Ramadan tahun ini, besar harapan Magdy Hafez untuk kembali melakukan ibadah yang sangat dirinduinya: Iaitu sekali lagi menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid.

Tahun lalu, pandemik COVID-19 menghambat warga Mesir berusia 68 tahun itu daripada ke masjid untuk menunaikan solat tarawih dalam bulan suci Ramadan.

Malah ia menjejas amalan-amalan agama Islam di merata dunia, termasuk di masjid-masjid Mesir yang ditutup kepada masyarakat Islam pada Ramadan tahun lalu.

"Saya ke masjid setiap tahun selama 40 tahun jadi ini sangat-sangat sukar bagi saya," kata beliau.

"Tetapi agama kita menyuruh kita untuk saling melindungi antara satu sama lain."

Sekalipun demikian, "perasaannya jauh berbeza sekali dan semangat kerohanian dalam bulan Ramadan tiada tolok bandingnya."

Mesir sudah mula membenarkan kebanyakan masjid dibuka semula bagi solat Jumaat berjemaah dan dalam bulan Ramadan tahun ini membolehkan mereka berterawih. Namun, ia dilakukan dengan langkah berjaga-jaga termasuk waktu solat yang disingkatkan.

Ramadan, yang bermula minggu ini, sedang kebanyakan negara di dunia berdepan penularan-penularan baru COVID-19.

Bagi kebanyakan Muslim, ini bermakna harapan untuk sebuah Ramadan yang lebih baik daripada tahun lalu seolah-olah punah dengan kenaikan-kenaikan kadar jangkitan meskipun peraturan-peraturannya berbeza di negara-negara berbeza.

Sekali lagi, sebahagian negara melaksanakan sekatan-sekatan baru. Namun timbul kebimbangan-kebimbangan sekiranya kegiatan-kegiatan bermasyarakat dalam bulan suci ini mungkin menyebabkan penularan lebih teruk.

"Kurangnya pematuhan dalam bulan Ramadan yang lalu, tergesa-gesa menarik balik perintah berkurung pada waktu itu serta pembukaan semula tempat-tempat berhimpun… menyebabkan kesan-kesan buruk yang berlarutan berbulan-bulan lamanya," kata Ahmed Al-Mandhari, pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Mediterranean Timur.

"Kami sangat bimbang jika berlaku sekali lagi apa yang berlaku pada Ramadan lalu, lebih-lebih lagi memandangkan Ramadan bertembung dengan satu lagi cuti penting, iaitu Easter," menurut beliau menerusi kiriman emel.

Penganut Kristian Ortodoks menyambut Easter pada 2 Mei.

Di Pakistan, jumlah kes baru meningkat daripada bawah 800 kes sehari pada awal bulan tahun lalu kepada lebih 6,000 sehari beberapa minggu selepas Ramadan berakhir.

Para pegawai mengatakan kenaikan kes di Pakistan disebabkan perbuatan melanggar sekatan-sekatan. Selepas jumlah kes berkurangan sedikit, negara itu kini berdepan jumlah kes baru melebihi 5,000 sehari.

Iran pada Sabtu lalu (10 Apr) memulakan perintah berkurung di tengah-tengah kenaikan tinggi kes menyusuli cuti umum bagi Norwuz, iaitu Tahun Baru Parsi.

Kesukaran ekonomi juga membelenggu ramai orang dalam bulan Ramadan.

Di Syria, Abed al-Yassin bimbang tentang waktu berbuka puasanya tahun ini.

"Sukar untuk mendapatkan walaupun setakat Fattoush," kata beliau, merujuk kepada salada yang merupakan makanan asas dalam bulan Ramadan di negaranya.

Ini merupakan Ramadan kedua beliau akan lalui di khemah berdekatan sempadan Turki selepas kehilangan tempat tinggal pada tahun lalu semasa serangan pemerintah yang disokong Rusia. Ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

"Kami hanya mahu pulang ke rumah," kata Abed, yang tinggal bersama isteri dan tiga anak lelakinya dan seorang anak perempuan dalam sebuah khemah.

Beliau bergantung sebahagian besarnya kepada bantuan makanan, katanya. Para penduduk di khemah-khemah itu baru-baru ini diberikan sekantung kekacang, pasta dan bulgur dan menerima roti setiap hari.

Lubnan pula dicengkam krisis ekonomi dan kewangan paling teruk dalam sejarah moden, diburukkan lagi oleh pandemik dan letupan dahsyat di Beirut dalam bulan Ogos 2020.

"Kami sedang melalui tempoh di mana sebahagian orang berpuasa baik dalam bulan Ramadan ataupun bukan," kata Cik Natalie Najm, seorang broker insurans.

Malah, walaupun dengan pekerjaannya itu, Cik Natalie tidak mampu menanggung kos makanannya sendiri, kata beliau. "Bagaimana dengan yang lain yang kehilangan pekerjaan?"

Untuk mencegah perhimpunan-perhimpunan besar dalam bulan Ramadan, Arab Saudi melarang masjid-masjid menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur.

Ramai pemimpin Islam, termasuk di Arab Saudi, sudah mencuba untuk melenyapkan kebimbangan-kebimbangan tentang mendapatkan vaksin COVID-19 dalam bulan Ramadan, sambil menyatakan bahawa ia tidak membatalkan puasa.

Dengan jumlah kes jangkitan menjangkaui jumlah paling tinggi sebelum ini di India, para ulama merayu anggota masyarakat mereka supaya mematuhi sekatan-sekatan dan mengelak daripada melakukan perhimpunan besar, di samping meminta para sukarelawan dan warga tua supaya menjaga orang-orang yang memerlukan.

Ramadan tahun lalu di India dicemari islamofobia menyusuli tuduhan-tuduhan bahawa penularan awal kes jangkitan di sana dikaitkan dengan perhimpunan tiga hari kumpulan tabligh, Tablighi Jamaat, di New Delhi.

Di Pakistan, pihak berkuasa membolehkan masjid-masjid dibuka dalam bulan Ramadan. Namun mesti mengikut peraturan-peraturan termasuk melarang para jemaah yang berusia 50 tahun dan ke atas dan mewajibkan pelitup.

Namun, memandangkan peraturan-peraturan sebahagian besarnya tidai dipatuhi pada tahun lalu, para doktor meminta pemerintah supaya menutup masjid.

"Kami sangat prihatin tentang perhimpunan-perhimpunan," kata Dr Qaiser Sajjad, setiausaha agung Persatuan Perubatan Pakistan.

Beliau menggesa pemerintah dan ulama Pakistan supaya bersama-sama mewujudkan perancangan lebih baik sepanjang bulan Ramadan untuk menghentikan penularan COVID-19.

"Kita mesti belajar daripada tahun lalu," kata beliau.

Dr Qaiser menggesa agar perintah berkurung dilaksanakan sepenuhnya di Lahore.

Afghanistan pula membiarkan sahaja para jemaah untuk saling menjaga antara satu sama lain, dengan menjaga jarak serta tidak ke masjid jika tidak sihat.

"Menyelamatkan nyawa adalah satu kewajipan. Anda tidak boleh meletakkan nyawa manusia dalam bahawa atau risiko," tegas Encik Sayed Mohammad Sherzadi, ketua jabatan ehwal haji dan agama di wilayah Kabul.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan