Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tuak kurma laris di bulan Ramadan

Walaupun terdapat pelbagai jenis minuman dijual pada bulan Ramadan, namun air nira kurma atau dikenali sebagai tuak kurma menjadi ‘buruan’ sehingga laris 10 kali ganda berbanding bulan biasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Tuak kurma laris di bulan Ramadan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Apr 2021 11:23PM Dikemas Kini : 24 Apr 2021 11:32PM

KOTA BHARU: Walaupun terdapat pelbagai jenis minuman dijual pada bulan Ramadan, namun air nira kurma atau dikenali sebagai tuak kurma menjadi ‘buruan’ sehingga laris 10 kali ganda berbanding bulan biasa.

Pengusaha tunggal tuak kurma di Malaysia Mohd Zain Mohamed, 61, berkata dia mampu menjual tuak kurma melebihi 20 liter sehari berbanding hanya tiga liter sahaja pada bulan biasa.

Peniaga itu berkata rasa yang enak selain lemak dan manis berbanding air nira kelapa biasa menjadikan tuak kurma sering menjadi sebutan serta permintaan ramai.

“Tuak kurma ini bukannya diproses dengan buah kurma sebaliknya pada bahagian batang yang ditoreh mengeluarkan air yang seakan warna lebih kurang sama dengan nira kelapa.

“Kurma sudah sinonim khususnya bagi masyarakat Islam di negara ini tambahan pula hanya saya sahaja yang mengusahakannya, menyebabkan saya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita di ladang kurma miliknya di Kampung Teras, Binjai pada Sabtu (24 Apr). 

Bercerita lanjut, bapa kepada tujuh anak itu berkata idea untuk mengusahakan tuak kurma itu tercetus tiga tahun lepas apabila dia menanam kira-kira 200 pokok kurma sekitar 2006.

Jelasnya, daripada jumlah yang ditanam itu hampir 50 pokok diusahakan untuk tuak kurma dan setiap pokok itu boleh menghasilkan kira-kira empat liter produk berkenaan.

“Pada awalnya, saya hanya sekadar suka-suka menanam tanaman ini dengan menyemai benih kurma yang dimakan dengan tidak menggunakan sebarang ilmu menyebabkan tanaman tidak mengeluarkan hasil.

“Dari situ timbul idea untuk melakukan pelbagai usaha termasuk menghiris batang pokok kurma itu dan tidak menyangka ia mengeluarkan air yang kini dijadikan sebagai tuak kurma,” katanya. 

Encik Mohd Zain pernah dikatakan sekadar ‘angan-angan Mat Jenin’ pada awal usahanya untuk menanam kurma memandangkan tanaman itu tidak sesuai ditanam di Malaysia.

Namun, berkat tidak putus asa itu dia kini mampu meraih hampir puluhan ribu ringgit dengan mengusahakan tuak kurma itu.

“Tuak kurma ini dijual pada harga RM15 (S$4.84) untuk setiap botol mengandungi 250 mililiter (ml) tuak kurma dan bagi memastikan air nira yang diambil dari pokok kurma tahan lebih lama, saya akan memasukkan kepingan kayu chengal di dalam botol yang digantung pada pokok.

“Kebiasaannya, pelanggan akan datang ke rumah atau terus ke kebun milik saya untuk membelinya dan kebanyakan pelanggan adalah penduduk setempat memandangkan ia tidak tahan lama, namun hanya ada ketika sahaja saya menghantarnya ke Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, Encik Mohd Zain turut mengusahakan cuka kurma untuk dikomersilkan memandangkan ia mempunyai banyak khasiat. 

“Cuka kurma pula dijual pada harga RM20 (S$6.46) bagi setiap botol mengandungi 300 ml. Cuka ini berbeza dengan cuka makan biasa memandangkan ia sangat elok untuk kesihatan selain juga tidak rosak.

“Malah, selepas Aidilfitri nanti seorang pemilik syarikat di Arab Saudi merancang untuk mengambil bekalan cuka kurma daripada saya untuk dijual di sana,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan