TAA akan agih S$1.43 juta 'Dana Aidilfitri' kepada 3,589 penerima bantuan
Tabung Amal Aidilfitri (TAA) akan mengagihkan lebih S$1.43 juta kepada 3,589 penerima bantuan sempena Ramadan tahun ini.
SINGAPURA: Tabung Amal Aidilfitri (TAA) akan mengagihkan lebih S$1.43 juta kepada 3,589 penerima bantuan sempena Ramadan tahun ini.
Jumlah itu sekitar 30 peratus lebih tinggi berbanding S$1.14 juta yang diagihkan pada tahun lalu.
Jumlah penerima bantuan kali ini juga lebih ramai, dengan pertambahan hampir 300 penerima bantuan berbanding 3,300 pada tahun 2020.
Demikian didedahkan TAA menerusi kenyataan medianya hari ini (27 Apr).
TAA juga akan menaikkan kuantum bantuan kewangan 'Dana Aidilfitri' itu dari S$350 yang diagihkan tahun lalu kepada S$400 bagi setiap penerima bantuan tahun ini.
"Kami menyedari dan prihatin bahawa para penerima bantuan kami masih terus terjejas oleh keadaan ekonomi yang masih tidak menentu. Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk mempertingkatkan bantuan kami bagi para penerima bantuan menerusi derma-derma yang diterima dan menerusi kerjasama dengan agensi-agensi khidmat sosial," menurut TAA.
'Dana Aidilfitri' itu akan diagihkan pada Ahad (2 Mei) di Wisma Geylang Serai oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.