Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SingPost anjur e-buka puasa demi hargai pekerja warga M'sia yang terus kerja di S'pura

Bagi lebih 30 kakitangan Melayu/Islam syarikat SingPost warga Malaysia, ini tahun kedua mereka tidak dapat berbuka puasa dengan anggota keluarga tersayang ekoran pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi lebih 30 kakitangan Melayu/Islam syarikat SingPost warga Malaysia, ini tahun kedua mereka tidak dapat berbuka puasa dengan anggota keluarga tersayang ekoran pandemik COVID-19.

Demi membantu mereka mengubat rindu serta menghargai pengorbanan mereka, syarikat tersebut menganjurkan satu acara e-berbuka untuk mereka pada malam ini tadi (16 Apr).

Dalam kalangan mereka adalah posmen SingPost Azrizal Abdul Malik, Khairul Faris Abdul Wahab dan Muhd Aizuddin Musa.

Ketiga-tiga pemuda asal Johor, Malaysia ini sudah lebih setahun tidak pulang ke Malaysia. Ini selepas sempadan kedua-dua negara ditutup bagi membendung penularan COVID-19.

Walaupun sudah boleh memohon skim Aturan Perjalanan Berkala (PCA) untuk pulang ke Malaysia, hanya Azrizal sahaja yang sudah berbuat demikian.

Bagi pemuda itu meskipun ada kemungkinan dia tidak dapat memasuki Singapura semula jika keadaan COVID-19 berubah, peluang untuk bersama isteri dan anaknya yang berusia 4 tahun enggan dilepaskan Azrizal.

"Saya sudah memohon untuk pulang dan saya ingin beraya dengan keluarga. Saya sudah bersedia sekiranya saya tidak dapat kembali ke Singapura," kata warga Malaysia itu.

Bagi Faris pula, kedua-dua ibu bapanya menasihatinya agar terus berada di Singapura meskipun dia bimbangkan keadaan kesihatan bapanya.

Bapanya menjalani pembedahan usus sebanyak dua kali selepas sempadan Singapura-Malaysia ditutup.

"Saya memang bimbang tapi emak sarankan saya kekal di sini kerana beliau masih berupaya menjaga ayah saya dengan bantuan abang saya. Jadi mereka beri sokongan pada saya terus bekerja di sini walaupun saya sedih tidak dapat bersama," kongsi Faris mengenai dilema yang dihadapinya.

Seorang lagi rakan sekerjanya, Aizuddin, pula sangat rindukan suasana Ramadan di Johor Baharu.

"Saya lakukan panggilan video untuk lebih mengambil tahu keadaan di sekitar Johor Baharu sama ada dari kawan-kawan atau saudara mara untuk mengetahui sebagaimana sambutan iftar di sana," katanya.

Tambah Aizuddin, meskipun layak, dia memutuskan untuk menangguhkan sahaja rancangan untuk pulang di bawah skim PCA.

"Kebanyakan saudara mara saya menetap di negeri-negeri lain di Malaysia, jadi saya tidak berpeluang untuk menziarahi mereka dalam masa terdekat ini ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya.

Untuk membantu mereka mengubat rindu dan demi mengenang pengorbanan mereka, "keluarga besar" SingPost berkumpul malam ini tadi untuk satu acara berbuka puasa.

Disebabkan COVID-19, acara yang disertai lebih 100 kakitangan SingPost ini diadakan secara online.

Para pekerjanya, termasuk Azrizal dan Faris berkongsi pengalaman peribadi masing-masing serta cabaran bekerja sebagai pekerja khidmat penting dalam suasana COVID-19.

Dua tetamu istimewa Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran dan Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Sim Ann turut hadir memberikan kata-kata semangat.

Kesemuanya terdapat lebih daripada 400 kakitangan SingPost warga Malaysia yang terus kekal di Singapura sejak tahun lalu.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan