Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Server MUIS 'lumpuh' selepas terlalu ramai orang tempah ruang solat Hari Raya serentak

Tempahan bagi ruang solat Hari Raya Aidilfitri dibuka pada pukul 10.00 pagi hari ini (11 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Laman menempah ruang solat Hari Raya Aidilfitri mengalami masalah server komputer yang terlalu padat setelah terlalu ramai orang cuba membuat tempahan pada waktu yang sama.

Tempahan bagi ruang solat Hari Raya Aidilfitri dibuka pada pukul 10.00 pagi hari ini (11 Mei).

Sebilangan pengguna yang mencuba membuat tempahan memberitahu BERITAmediacorp bahawa mereka mengalami kesukaran untuk membuat tempahan disebabkan oleh masalah teknikal dan perlu berkali-kali mencuba. Ada yang akhirnya berjaya mendapatkan ruang dan ada juga yang terlepas peluang untuk mengerjakan solat sunat itu.

(Gambar: Nordiana Shariff)

Sekitar pukul 10.20 pagi, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memuat naik catatan di laman Facebooknya bagi memaklumkan bahawa terdapat isu server yang disebabkan oleh jumlah kunjungan yang sangat tinggi ke laman itu.

(Gambar: Tihany Mokhtiaruddin)

(Gambar: Nur Tihany Mokhtiaruddin)

Catatannya berbunyi: "Sistem tempahan sekarang sedang mengalami isu-isu server. Ini kerana terdapat jumlah sangat tinggi orang yang ke laman kami.

"Kami memohon pemahaman dan kesabaran anda dalam hal ini dan mencuba lagi pada pukul 10.30 pagi."

Komen-komen yang diluahkan di laman Facebook MUIS menunjukkan ramai anggota masyarakat yang berasa marah dan tidak berpuas hati dengan kegenjotan yang berlaku itu.

Namun ada juga yang reda dan meminta orang lain supaya bertenang dan menyatakan bahawa "sekurang-kurangnya mereka sudah mencuba" mendaftar dan sama ada mereka berjaya mendapat ruang ataupun tidak adalah "ketentuan Allah".

Menurut maklumat di laman tempahan itu, pendaftaran bagi solat Jumaat pada 14 Mei dan 21 Mei juga dibuka pada pukul 10.00 pagi hari ini.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada ia menyumbang kepada jumlah tinggi pengunjung ke laman tersebut. Jumlah ruang solat Jumaat bagi kedua-dua tarikh tersebut juga masih banyak.

BERITAmediacorp sudahpun menghubungi MUIS untuk mendapatkan komen.

Apabila BERITAmediacorp melungsuri laman tempahan https://ourmosques.commonspaces.sg/ sekitar pukul 11.00 pagi, tinggal 1 sahaja ruang solat. Namun jumlah baki ruang solat itu berubah-ubah setiap kali laman itu disegarkan semula atau 'refresh'.

Hampir kesemua ruang solat habis ditempah sekitar 30 hingga 40 minit selepas ia dibuka kepada pendaftaran umum. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan