Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah penduduk susah Sengkang lebih segar jelang Hari Raya

20 buah rumah penduduk miskin dan warga emas dalam kawasan Sengkang akan menjadi lebih selesa lagi untuk sambutan Hari Raya mereka nanti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 20 buah rumah penduduk miskin dan warga emas dalam kawasan Sengkang akan menjadi lebih selesa lagi untuk sambutan Hari Raya mereka nanti.

Ini berkat usaha gigih 150 sukarelawan Project Refresh anjuran Young NTUC-CDC Timur Laut yang berganding bahu memberi kesegaran dan membersihkan rumah-rumah penduduk miskin di Sengkang.

Datuk Bandar CDC Timur Laut, Desmond Choo turut serta dalam usaha murni itu.

Sebelum ini projek itu menumpukan kepada warga emas yang tinggal di flat sewa, tapi edisi kali ini turut menyertakan keluarga berpendapatan rendah yang rumah mereka perlukan pembersihan.

Keutamaan diberi kepada keluarga Muslim yang perlukan bantuan semasa Ramadan ini.

Salah seorang penduduk yang dibantu ialah Encik Abdul Halim Ibrahim yang dalam lingkungan usia 60 tahun.

Beliau tinggal sendirian di flat empat bilik di Sengkang West selepas kehilangan isterinya akibat sakit barah 16 tahun lalu. Satu-satunya anak lelakinya pula meninggal dunia secara tiba-tiba dua tahun kemudian.

Jadi, sukar baginya untuk melepaskan barang-barang lama yang penuh kenangan di rumahnya. Namun itu juga menyebabkan keadaan seluruh rumahnya menjadi tidak terjaga.

Bagaimanapun menerusi bantuan Project Refresh itu, flat Encik Halim dibersihkan dan dinding-dinding flatnya kini lebih segar selepas dicat semula.

Bekas posmen itu yang menghidap penyakit gaut dan kencing manis berasa cukup bersyukur dengan perubahan tempat tinggalnya itu.

"Kalau bersendirian memang payah. Banyak kerja. Badan pun kurang sihat, kan. Saya memang terharu, tanpa pertolongan tidak boleh kita lakukan semua sendiri," kata Encik Halim tentang kerja yang perlu untuk membaik pulih atau mengemas rumahnya.

Yang pasti, bantuan yang dihulurkan ini juga sangat bermakna bagi para sukarelawan seperti Muhammad Arif Azali.

"Saya sendiri tinggal di flat sewa. Keluarga saya sering dikunjungi pihak-pihak yang menghantar makanan dan habuan. Jadi saya pun ingin menyumbang semula kepada masyarakat.

Setiap keluarga di bawah Project Refresh itu turut menerima habuan berupa barangan makanan dan keperluan asas. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan