Skip to main content

Iklan

Iklan

Punah harapan, tiada 'suasana Raya': Rakyat M'sia sedih tidak boleh balik kampung

Punah harapan, tiada 'suasana Raya': Rakyat M'sia sedih tidak boleh balik kampung.

Anggaran Waktu Membaca:
Punah harapan, tiada 'suasana Raya': Rakyat M'sia sedih tidak boleh balik kampung

Pegawai polis di luar Masjid Negara semasa Hari Raya 25 Mei 2020. (Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

Diterbitkan : 11 May 2021 10:05AM Dikemas Kini : 11 May 2021 10:20AM

KUALA LUMPUR: Baru sebulan lalu, Siti Farahani Halim berasa ada harapan untuk dia menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampungnya di Perlis.

Gadis berusia 25 tahun, yang bertugas sebagai eksekutif ehwal korporat di Kuala Lumpur itu, gembira mendapat tahu bahawa kerajaan mungkin menarik balik sekatan-sekatan perjalanan rentas sempadan bagi musim cuti Hari Raya kali ini.

Siti Farahani sudah tidak berjumpa orang tua serta dua adik-beradiknya sejak dia bekerja pada 2019, memandangkan sekatan perjalanan dilaksanakan semasa Hari Raya 2020.

Bagaimanapun, harapannya untuk kembali bersua dengan keluarga tersayang punah apabila kerajaan mengumumkan bahawa kegiatan kunjung-mengunjung Hari Raya serta perjalanan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan sehingga awal bulan Jun di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19.

Pada Isnin (10 Mei), kerajaan mengumumkan satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 12 Mei hingga 7 Jun dalam satu langkah yang disifatkan oleh Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin sebagai "langkah drastik untuk mengelak negara daripada terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan lebih parah".

Di bawah PKP, semua bentuk perhimpunan sosial termasuk majlis perkahwinan, kunjungan ke rumah-rumah dan majlis jamuan tidak dibenarkan.

Langkah itu diambil sedang Kementerian Kesihatan Malaysia bergelut dengan jumlah tinggi pesakit COVID-19, dengan sebahagian hospital dan unit jagaan rapi (ICU) hampir mencecah had jumlah pesakit.

Setakat Isnin, terdapat lebih 444,000 kes kesemuanya di Malaysia. Jumlah kes aktif sebanyak 37,396, dengan 434 pesakit dirawat di ICU.

Siti Farahani Halim bergambar di Perlis semasa Hari Raya sebelum COVID-19. (Gambar ihsan: Siti Farahani Halim) 

Siti Farahani Halim bergambar di Perlis semasa Hari Raya sebelum COVID-19. (Gambar ihsan: Siti Farahani Halim) 

Meskipun faham mengapa langkah terbaru itu perlu dilaksanakan, Siti Farahani tetap berasa sedih.

"Saya sedih sangat kerana sudah lama tak dapat balik kampung. Rancangan awalnya adalah untuk balik Perlis sempena Hari Raya. Tetapi bila jelas tak boleh lakukan perjalanan rentas negeri, saya ingatkan sekurang-kurangnya saya masih boleh berjumpa saudara lelaki dan perempuan yang ada di Kuala Lumpur juga," kata Siti Farahani.

"Tapi apabila mereka mengesahkan bahawa rentas daerah juga akan dibatalkan, kami terkedu. Kami tinggal di daerah berlainan di Kuala Lumpur. Jadi sedihlah dan kami harus beraya di rumah sendirian."

Ramai warga Malaysia seperti Siti Farahani tinggal di kawasan-kawasan bandar disebabkan kerja, tetapi mereka biasanya akan pulang beraya di kampung bersama keluarga.

Namun, buat dua tahun berturut-turut sambutan Aidilfitri terasa sendu sedang Malaysia terus dicengkam pandemik COVID-19.

SEKALI LAGI TIADA "SUASANA MERIAH"

Tahun ini, sekali lagi, Siti Farahani berkata dia akan membuat panggilan video dengan keluarganya pada sebelah pagi dan kemudian meneruskan harinya seperti biasa.

Kata Siti Farahani: "Saya tidak seronok atau rasa suasana meriah tahun ini. Saya rindu keluarga di rumah dan saya rindu sambut Raya di Perlis.

"Sebagai sebuah keluarga, kami akan makan ketupat dengan rendang, pergi solat Raya sebelah pagi, ziarah kubur insan tersayang dan bergambar berlatarkan landskap indah. Saya gadis kampung dan ia sesuatu yang merugikan bila saya tidak dapat melakukannya buat kali kedua berturut-turut."

Peguam DK Vivi Fazrenna Zaidun juga meluahkan rasa yang sama. Wanita berusia 26 tahun itu tidak dapat pulang ke kampungnya di Sabah dan dia juga akan beraya seorang diri di Kuala Lumpur.

"Sebelum 2020, saya tidak pernah terlepas sambut Hari Raya bersama keluarga. Ia hari paling istimewa bagi saya," kata Vivi.

"Kami akan masak lauk-pauk Hari Raya bersama, seperti bakar lemang dan menghias rumah. Tapi sekarang saya akan menyambutnya seorang diri, jadi saya rasa tidak ada makna untuk saya masak lauk istimewa kerana membazir sahaja," tambah Vivi.

Seperti 2020, Vivi akan memakai baju kurung warna sedondon dengan keluarga di Sabah dan bergambar menerusi panggilan video.

Peguam DK Vivi Fazrenna Zaidun berpakaian sedondon dengan keluarga di Sabah dan bergambar menerusi panggilan video. (Gambar: DK Vivi Fazrenna Zaidun) 

Peguam DK Vivi Fazrenna Zaidun berpakaian sedondon dengan keluarga di Sabah dan bergambar menerusi panggilan video. (Gambar: DK Vivi Fazrenna Zaidun) 

Begitu juga bagi seorang eksekutif, Ammar Muhammad yang tinggal di Kuala Lumpur. Ammar juga kesal tidak dia dan isteri tidak dapat pulang menziarahi mentuanya di Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut eksekutif berusia 36 tahun itu, perjalanan pulang ke kampung itu waktu yang baik untuk berehat daripada kerja dan peluang untuk menyuntik semangat baru.

"Ia masalah besar bagi kami kerana kami kerja keras sepanjang tahun dan satu-satunya waktu kami dapat berehat dengan betul adalah apabila kami pulang ke kampung untuk Raya. Ia peluang untuk melegakan tekanan daripada kerja dan berjumpa kawan-kawan lama, keluarga. Lebih-lebih lagi dengan COVID-19 tahun ini, kami betul-betul perlukannya (cuti)," kata Ammar.

Ammar berkata dia mungkin akan meluangkan masa Hari Raya menonton rancangan-rancangan televisyen di Netflix dan melungsuri Twitter.

"Tak ada 'mood' langsung," kata Ammar.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan