Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesakit kronik Siti Nuraisha Umaira 11 tahun antara 440 penerima bantuan Club Rainbow

Umaira yang dilahirkan dengan pelbagai anomali kongenital (sejak lahir) dan kemudian didiagnosis mengalami 'Global Developmental Delay' dirujukkan kepada Club Rainbow pada 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesakit kronik Siti Nuraisha Umaira 11 tahun antara 440 penerima bantuan Club Rainbow

(Gambar ihsan: Club Rainbow)

SINGAPURA: Sekitar 440 kanak-kanak dan remaja Melayu/Islam dan keluarga mereka dibantu oleh Club Rainbow.

Salah seorang penerima bantuan itu ialah Siti Nuraisha Umaira Binte Ahmad yang berusia 11 tahun.

Umaira yang dilahirkan dengan pelbagai anomali kongenital (sejak lahir) dan kemudian didiagnosis mengalami 'Global Developmental Delay' dirujukkan kepada Club Rainbow pada 2017.

Istilah 'Global Developmental Delay' digunakan bagi merujuk kepada seseorang kanak-kanak yang mengambil masa lebih lama untuk mencapai tahap pembangunan tertentu berbanding kanak-kanak lain yang sebaya dengan mereka.

Ini mungkin termasuk belajar berjalan atau bertutur, kemahiran pergerakan, mempelajari sesuatu perkara baru dan berinteraksi dengan orang lain secara sosial dan emosi.

Umaira tidak banyak bercakap dan memerlukan pertolongan ibunya untuk menjalani keperluan hidup seharian.

Keluarga tiga beranak itu bergantung kepada pendapatan ayahnya sebagai seorang pemandu bas untuk menyara kehidupan mereka.

Club Rainbow menyediakan Umaira dengan khidmat fisioterapi dan terapi pertuturan dan Umaira kini menerima terapi bermain setiap minggu untuk menyokong keperluan pembangunannya.

Setiap bulan, Club Rainbow membantu keluarga Umaira melalui baucar makanan dan lampin pakai buang.

Bagi membantu keluarganya menampung kos yang berkaitan dengan pendidikan, dermasiswa diberikan kepada Umaira sejak dia mula-mula menyertai Club Rainbow.

Demi keselamatannya, Umaira terpaksa menggunakan kerusi roda apabila dia keluar rumah kerana anggota tubuhnya lemah.

Dengan bantuan dan sokongan dari pasukan pengangkutan Club Rainbow, Umaira menerima khidmat pengangkutan secara percuma ke hospital untuk rawatan susulan dan ke Club Rainbow untuk menjalani sesi terapi tanpa perlu risau tentang kos pengangkutan yang mahal.

"Para pekerja sosial kami memantau perkembangan Umaira dengan kerap bagi memastikan keluarganya juga mendapat sokongan relevan yang diperlukan," menurut kenyataan media Club Rainbow.

Menurut Club Rainbow, para keluarga dengan anak-anak yang sakit kronik menghadapi cabaran fizikal dan emosi setiap hari.

"Sehubungan itu, matlamat Club Rainbow adalah untuk memperkasakan mereka ke arah mutu hidup yang lebih baik dan peluang yang sama tanpa mengira keadaan perubatan mereka seumur hidup," menurut kenyataan itu lagi.

Sebagai sebuah badan amal, Club Rainbow bergantung kepada sumbangan derma korporat dan awam untuk menyokong misinya membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Club Rainbow dan cara-cara bagaimana untuk menyokong dan memperkasakan keluarga yang memerlukan, sila lungsuri laman ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan