Ramadan 2021

Images
  • minimalist studio fb
    Antara koleksi Hari Raya yang dijual Minimalist Studio (Gambar: Facebook/Minimalist Studio SG)

Peniaga barang Hari Raya masih terkial-kial habiskan stok tahun lalu

SINGAPURA: Para peniaga bazar Hari Raya yang tahun lalu terperangkap dengan stok barangan berlebihan dek 'Circuit Breaker', nampaknya mengalami nasib bercampur-campur.

Ada yang masih terkial-kial untuk menghabiskan stok.

Ada pula yang walaupun berjaya menjual kebanyakan stok mereka, kini terperangkap pula dengan penjualan lembap stok-stok baru kerana peningkatan kes COVID-19 sejak akhir-akhir ini.

Contohnya pasangan adik beradik Hairul Nizam dan Hartini Ramle yang mengendalikan kedai Minimalist Studio di Pusat Membeli Belah Bukit Timah.

Mereka antara peniaga yang teruk terjejas apabila bazaar Hari Raya Geylang Serai tahun lalu dibatalkan ekoran pelbagai langkah sekatan dek COVID-19

Akibatnya, mereka tersangkut dengan lebih 25 guni barangan seperti pakaian dan kasut Hari Raya bernilai S$50,000. Mereka hanya berjaya menjual 30 peratus stok tahun lalu.

Lantaran itu mereka juga tidak membawa stok baru tahun ini dan sebaliknya berharap menjual baki 70 peratus stok dari tahun lalu.

Namun masalah mereka bukan setakat soal stok sahaja, tetapi juga stok yang akhirnya menjadi rosak.

"Baju kalau kita simpan lama menjadi putih seperti bercendawan. Jadi kita harus ketepikan dan tidak boleh menjualnya," kata Cik Hartini.

Bagaimanapun nasib mereka kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sejak berita tentang kenaikan bilangan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat tersebar luas baru-baru ini, perniagaan mereka turut terjejas, dengan 30 peratus pelanggan membatalkan temu janji.

"Saya menganggarkan akan kerugian penjualan sekitar S$60,000 kesemuanya. Juga mungkin lagi S$10,000 sekiranya lebih ramai pelanggan membatalkan pembelian mereka," keluh Encik Hairul.

Pemilik kedai 'Dolls Cabana by Eyfa Sufi', Sharifah Atiyah, pula boleh dianggap lebih bernasib baik. Beliau membawa masuk barangan kosmetik dan beg bernilai S$40,000 untuk dijual di bazaar Hari Raya tahun lalu.

Mujur, 90 peratus daripada stok lama itu sudah terjual, dan disebabkan itu Sharifah Atiyah berani membawa masuk stok baru bernilai S$20,000 untuk dijual.

Bagaimanapun ternyata, iklim perniagaan tidak naik seperti yang beliau jangkakan.

"Saya tidak menyangka keadaan di sekitar kawasan Geylang Serai lemah. Jumlah pengunjung antara Isnin sampai Jumaat merosot sekitar 60 peratus hingga 70 peratus. Begitu juga keadaannya pada hari Sabtu," ujar Sharifah Atiyah.

Tambahnya, para pembeli juga kurang berbelanja kali ini dan ini mungkin kerana tidak berapa banyak rumah yang boleh mereka kunjungi pada Hari Raya nanti, berbanding zaman sebelum COVID-19.

Kini, dengan tinggal sekitar seminggu sebelum Hari Raya, hanya separuh stok barunya yang sudah terjual. Jadi untuk melariskan stok, beliau "melelong" barangan seperti beg dan barangan kosmetik menerusi media sosial - sesuatu yang dilakukannya setiap malam.

Malah dengan pengumuman pemerintah hari ini (4 Mei) bahawa hanya 5 orang dibenarkan berkumpul dan bukan lagi 8 orang demi mengurangkan interaksi sosial - sambutan Hari Raya dijangka akan turut terjejas dan mungkin juga perniagaan para peniaga seperti Encik Hairul dan Sharifah Atiyah. 

- BERITAmediacorp/tq

Top