Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk kawasan pergunungan Pakistan terpaksa berpuasa dalam kegelapan

Penduduk kawasan pergunungan Pakistan terpaksa berpuasa dalam kegelapan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk kawasan pergunungan Pakistan terpaksa berpuasa dalam kegelapan

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 08 May 2021 12:05AM Dikemas Kini : 08 May 2021 12:15AM

KHAPLU, GHANCHE: Di sebuah kawasan pergunungan di Gilgit-Baltistan, utara Pakistan, penduduknya nekad melakukan bantahan setelah perlu mengerjakan ibadah puasa dalam kegelapan ekoran bekalan elektrik yang terputus setiap hari selama 20 jam atau lebih daripada itu di beberapa daerah.

Gilgit-Baltistan merupakan kawasan miskin di wilayah Kashmir. Ia juga adalah gerbang masuk Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) dengan potensi besar untuk menjana tenaga dari tenaga hidro. Namun para penduduknya sejauh ini hanya dapat menikmati sedikit sahaja manfaat daripada projek prasarana bernilai $65 bilion (S$86.5 bilion) itu, menurut laporan Arab News.

Ketika wilayah itu mengadakan pilihan raya tempatan pada November tahun lalu, Perdana Menteri Imran Khas berjanji untuk membina loji tenaga hidroelektrik.

Pada bulan lalu, ketua menteri daerah Khalid Khurshid memberi kuasa kepada setiausaha wilayah bagi memastikan tiada gangguan bekalan elektrik berlaku semasa waktu bersahur dan berbuka puasa di bulan Ramadan.

Pada minggu lalu, PM Khan mengumumkan pakej pembangunan bernilai 370 bilion rupee (S$6.7 bilion) bagi kawasan itu, dengan sebahagiannya bertujuan menyelesaikan krisis bekalan elektrk.

Dalam satu mesyuarat pada minggu ini antara menteri kewangan Pakistan dan Khurshid, pemerintah persekutuan berjanji untuk "melaksanakan beberapa projek bagi penjanaan tenaga hidro."

Walaupun terdapat banyak kegiatan dan janji-janji yang dibuat, sehingga kini, para penduduk terpaksa menyambut bulan Ramadan dan membuat persiapan bagi sambutan Aidilfitri dalam kegelapan.

"Tidak ada bekalan elektrik di kampung kami," kata Ghulam Nabi Sanai dari daerah Ghanche kepada Arab News pada Rabu (5 Mei).

"Kami sudah membuat aduan tentang tiadanya bekalan elektrik, namun tiada pegawai jabatan tenaga yang mendengar keluhan kami. Sebab itu kami perlu adakan bantahan."

Sejak beberapa hari lalu, Sanai berkata penduduk di kampungnya terpaksa menyiapkan sajian berbuka puasa serta bersahur dalam kegelapan.

Riaz Ali, seorang eksekutif jurutera di jabatan tenaga Gilgit-Baltistan berkata satu masalah besar dalam bekalan elektrik di kawasan itu adalah sistem elektriknya yang tidak dihubungkan sepenuhnya kepada grid nasional.

Keupayaan pengeluaran rendah bagi stesen janakuasa sedia ada juga merupakan satu lagi masalah, katanya seperti yang dipetik Arab News.

Sungguhpun begitu, jurutera tersebut percaya projek-projek baru yang dijanjikan di bawah CPEC akan membantu menyelesaikan krisis tenaga di wilayah tersebut.

"Jika projek-projek besar dilancarkan," katanya, "Gilgit-Baltistan berpotensi menjana lebih daripada ribuan megawatt elektrik."

Sumber : Agensi berita/HZ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan