Skip to main content

Iklan

Iklan

Pemain SPL kekalkan prestasi walaupun berpuasa

13 perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL), berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: 13 perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL), berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini.
Para pemain menjalani latihan seperti biasa bagi mengharungi saingan Liga Singapura, namun secara
lebih tersusun berbanding Ramadan lalu, yang mana mereka bebas mengatur jadual latihan sendiri dek langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Dua pasukan SPL berkongsi penyesuaian yang dibuat bagi memastikan para pemain terus mengekalkan prestasi mereka walaupun berpuasa.

PASUKAN LION CITY SAILORS F.C SESUAIKAN JADUAL LATIHAN SETIAP MINGGU

Bulan Ramadan atau tidak - Liga tetap berlangsung dan para pemain tetap giat berlatih.

Bagi pasukan Lion City Sailors FC, yang kini menduduki tempat kedua Liga dengan 17 mata, jurulatih mereka memastikan setiap pemain dapat terus mengekalkan tahap kecergasan tanpa menjejas puasa mereka.

Lantas, penyesuaian dibuat pada program dan waktu latihan termasuk menyusun sesi sebelum waktu berbuka puasa.

Penolong Ketua Jurulatih Lion City Sailors F.C, Noh Rahman berkata: "Selalunya kami buat latihan selama 90 hingga 100 minit, kurang dari dua jam kalau bukan bulan Ramadan. Tetapi kalau bulan Ramadan kami kurangkan kepada 1 jam 15 minit, tak sampai 90 minit."

Program latihan Ramadan kali ini juga jauh lebih teratur berbanding tahun lalu apabila para pemain bebas mengatur waktu latihan sendiri dek pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

"Tahun lepas Ramadan sewaktu "Circuit Breaker", jadi kami tidak dapat berlatih bersama tetapi para jurulatih berikan program untuk kami buat tetapi ia agak longgar kerana masa itu terpulang kepada kami, sama ada kami hendak membuatnya selepas waktu berbuka, sebelum sahur ke," kata pemain tengah Lion City Sailors F.C, Shahdan Sulaiman kepada BERITAmediacorp.

Perbezaan yang ketara juga mungkin terasa dari segi jadual perlawanan.

Sepanjang Ramadan, semua perlawanan dimulakan pada jam 8.30 malam, lebih sejam selepas waktu berbuka puasa.

Jadual itu berlainan berbanding sebelum bulan Ramadan di mana permainan diadakan seawal jam 5.30 petang setiap hujung minggu.

Shahdan berkata: "Saya rasa baguslah kalau kita tangguhkan permainan kepada 8.30 malam kerana kalau sebelum waktu berbuka, mungkin kami pun akan terjejas juga."

BALESTIER KHALSA FC KEKALKAN LATIHAN ENAM KALI SEMINGGU

Ketangkasan di padang semasa latihan turut dipastikan bagi pasukan Balestier Khalsa F.C.

Semangat berpasukan yang tinggi juga membantu mereka untuk terus bertenaga semasa latihan.

Hazzuwan Halim, pemain penyerang Balestier Khalsa F.C berkata kepada BERITAmeiacorp: "Pada saya semangat pasukan kami, kami selalu berfikiran positif, mendorong satu sama lain dan hendak bekerja lebih keras."
Pasukan Balestier Khalsa mengekalkan latihan enam kali seminggu, yang dijalankan pada waktu malam - tidak ubah dari latihan sebelum bulan Ramadan.
"Baiknya pada bulan Ramadan, jika kita berlatih pada waktu malam kami dapat memberi masa untuk pemain yang berpuasa masa untuk berbuka, barulah kami berlatih," ujar Penolong Ketua Jurulatih Balestier Khalsa F.C, Rosman Sulaiman.

Yang pasti, para pemain Liga Perdana Singapura terus mempamerkan prestasi terbaik walaupun berpuasa.

Perlawanan akan kembali dijadualkan pada jam 5.30 petang bermula 15 Mei nanti.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan