Ramadan 2021

Images
  • pasar geylang serai 9 may 2021
    Suasana di luar Pasar Geylang Serai pada pagi Ahad, 9 Mei 2021 pada hujung minggu terakhir Ramadan.

Pasar Geylang Serai sesak, persiapan hujung minggu terakhir Ramadan

BERITAmediacorp: Pasar Geylang Serai terus sesak dibanjiri lautan pembeli buat hari kedua berturut-turut hujung minggu ini. Sehingga 10:00 pagi tadi (9 Mei), sekitar 6,000 orang berduyun-duyun datang membeli keperluan dapur sempena Syawal - iaitu sekitar 30 peratus lebih banyak berbanding semalam (8 Mei).

Mereka sanggup beratur panjang, bahkan ramai yang perlu menunggu lebih sejam untuk giliran masuk ke pasar.

Semasa kru BERITAmediacorp tiba di pasar itu pada 7.00 pagi, jumlah orang yang beratur sudahpun mencecah ratusan orang.

Sekitar dua jam kemudian, papan di pintu masuk pasr menunjukkan jumlah pengunjung yang sudah dapat masuk ke pasar mencapai lebih 5,000 orang dengan barisan panjang masih terbentuk di luar.

Pantauan BERITAmediacorp sejam kemudian mendapati jumlah tersebut mencecah sekitar 6,000 orang.

Atas keselamatan pengunjung, dan bagi mengawal lonjakan pembeli yang berkumpul dan beratur panjang dekat simpang jalan, para pegawai dari Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyesuaikan aturan barisan agar lebih ramai orang dapat berdiri di bawah khemah yang disediakan, dengan langkah pengurusan selamat terus diutamakan.

TUNGGU LAMA UNTUK MASUK KE KAWASAN PASAR

Salah seorang pengunjung yang ditemui BERITAmediacorp semasa beratur di luar pasar ialah Cik Liyana yang tiba di Geylang Serai pada jam 8.15 pagi. Berdasarkan orang yang beratur didepannya, beliau menjangkakan perlu menunggu sehingga sejam sebelum dapat memasuki pasar.

Katanya, kesibukan bekerja menyebabkan beliau hanya dapat meluangkan masa membeli persiapan hari raya pada hari minggu serta pada saat-saat akhir.

Cik Liyana berkata: "Saya nak beli bahan-bahan untuk Hari Raya. Hari ini pun sebab kebetulan saya tidak bekerja. Tiada pilihan memang hari ini sahaja saya ada masa untuk datang berbelanja."

"Di sini banyak pilihan dan bahan-bahan pun harganya agak berpatutan," tambahnya.

Pengunjung yang ditemui BERITAmediacorp juga berkata mereka perlu menunggu lebih sejam dalam barisan beratur.

Misalnya, Encik Zuhairi yang hanya dapat masuk berbelanja setelah 1.5 jam beratur.

Begitu juga dengan pasangan suami isteri Encik Shukri dan Cik Hasliza yang terpaksa menunggu sekitar 1.5 jam sebelum giliran mereka masuk ke pasar.

Cik Hasliza berkata kepada BERITAmediacorp: "Hari ini kami tidak bekerja. Nak datang pada hari Selasa atau hari Rabu kami rasa akan lebih ramai orang jadi cubalah nasib untuk datang pada hari ini."

"Bagi mereka yang nak datang itu, tak perlu datang ramai-ramai. Bersiap sedia, bawa tisu kerana anda pasti akan berpeluh. harus banyak bersabar sebab barisan beratur agak panjang," nasihat Cik Hasliza kepada orang ramai yang belum lagi ke pasar.

BEKALAN CUKUP KATA PENIAGA, PASAR MASIH DIBUKA MINGGU DEPAN

Para peniaga yang ditemui BERITAmediacorp, berkata mereka sememangnya sudah menjangkakan keadaan sesak setiap menjelangnya minggu terakhir bulan Ramadan ini.

Namun tidak menyangka barisan beratur yang begitu panjang sekali.

Peniaga ayam, Encik Faizal Zainal, 40 tahun berkata jumlah perniagaannya pada Ahad lebih baik daripada hari sebelumnya.

Namun, menjangkakan perniagaan akan mula reda bermula esok.

Cik Elly Sukma Warni pula berkata: "Orang sudah sikit-sikit beli. Hari Selasa mungkin masih ramai pengunjung ke pasar, Rabu, saya rasa sudah tidak ada."

Sentimen sama dikongsi Cik Fauziah Sidek, peniaga sayur.

"Hari ini sebab ramai orang tidak kerja, mereka datang hari ini. Kalau yang suri rumahtangga, mereka datang hari biasa," ujar Cik Fauziah.

Menjelang tengah hari, BERITAmediacorp mendapati barisan beratur di pasar sudah mula reda dengan kurang 300 orang sedang beratur.  


- BERITAmediacorp/tq

Top