Ramadan 2021

Images
  • Korea Selatan Ramadan
    (Gambar hiasan: Ahmad Gharabli/AFP)

Muhammadiyah isytihar Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 13 Mei di Indonesia

JAKARTA: Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia, sudahpun menetapkan bahawa perayaan Hari Raya Aidilitri jatuh pada Khamis (13 Mei).

Keputusan muktamad itu dibuat dengan merujuk kepada hasil "hisab" atau perhitungan, yang dibuat oleh Majelis Tarjih dan Tajdid, majlis penggubal undang-undang dan reformasi.

Berdasarkan pengamatan "hilal," atau anak bulan, hubungan antara matahari dengan bulan akan terjadi pada hari Rabu, 12 Mei, pukul 02:03:02 Waktu Indonesia Barat (WIB).

"Oleh itu, 'hilal' akan muncul ketika matahari terbenam di Yogyakarta," kata Setiausaha Agung Muhammadiyah Agung Danarto semasa sidang media maya yang disertai ANTARA di Jakarta pada Isnin.

Umat Islam Indonesia menerapkan dua kaedah standard untuk menentukan permulaan bulan puasa Ramadan dan hari pertama Syawal, yang menandakan perayaan Aidilfitri.

Jika Muhammadiyah menggunakan "hisab", atau perhitungan matematik dan astronomi, Nahdlatul Ulama (NU), pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, pula menggunakan "rukyat," atau penampakan bulan.

Bagi umat Islam di Indonesia dan negara-negara lain di seluruh dunia, Aidilfitri tahun ini sekali lagi dirayakan di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang sedang membelenggu dunia.

Penularan COVID-19, yang awalnya melanda bandar Wuhan di China pada akhir 2019, melumpuhkan kesihatan awam dan ekonomi masyarakat Indonesia.

Dengan keadaan pandemik ini, polis Indonesia melarang semua kegiatan yang menyebabkan perhimpunan orang ramai, termasuk yang berkaitan dengan takbir raya pada malam Hari Raya.

"Semua bentuk kegiatan yang menarik orang ramai dilarang. Di tengah-tengah pandemik COVID-19, setiap aktiviti yang berpotensi menarik orang ramai melanggar undang-undang," kata Ketua Komisioner Kanan Polis Jakarta Pusat Hengki Haryadi pada Ahad (9 Mei).

Oleh itu, Encik Haryadi mengingatkan orang awam agar tidak berhimpun pada malam Hari Raya kerana acara takbir raya sering menyebabkan orang ramai berkumpul. Mana-mana konvoi di seluruh bandar untuk merayakan perarakan takbir di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang sedang berlangsung juga sudah dileraikan.

Polis juga mengutamakan langkah-langkah pencegahan untuk menghentikan orang ramai daripada meraikan perayaan Aidilfitri, tambah beliau.

Sekitar 1,500 kakitangan dari dari pasukan tentera, polis, dan pemerintah kota Jakarta Pusat sudahpun dikerahkan untuk melindungi Operasi Ketupat Jaya 2021. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top