Skip to main content

Iklan

Iklan

"Meski keseorangan tapi tidak kesepian" - Mualaf muda ini kongsi pengalaman Ramadan

Tiga tahun lalu, pada usia hanya 20 tahun, Kaven Lim melafazkan Syahadah, sekali gus memeluk agama Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
"Meski keseorangan tapi tidak kesepian" - Mualaf muda ini kongsi pengalaman Ramadan

Kaven Siddique Lim melaungkan azan di Darul Arqam. (Gambar-gambar ihsan: Kaven Siddique Lim)

BERITAmediacorp: Tiga tahun lalu, pada usia hanya 20 tahun, Kaven Siddique Lim melafazkan Syahadah, sekali gus memeluk agama Islam.

Meskipun ramai saudara mara dan sahabat handai mempersoalkan keputusannya, anak muda itu tidak sesekali pun rasa ragu-ragu.

Bagi Kaven, ajaran Islam sebati dengan jiwanya. Lebih banyak yang dipelajari, semakin tertarik dirinya kepada agama itu.

Kaven bersyukur dapat peluang menunaikan umrah pada tahun 2019.

"Ia memang masuk akal bagi saya – percaya pada yang Esa, iaitu hanya sembah Tuhan yang satu. Jadi, saya membuat keputusan, ok, ia masuk akal dan ia adalah sesuatu yang menusuk jiwa saya dan pada ketika itulah saya membuat keputusan saya mahu jadi seorang Muslim," luah beliau yang kini berusia 23 tahun.

"SELESA SEPERTI DI RUMAH SENDIRI"

Kaven bersyukur anggota keluarganya menerima beliau memeluk agama Islam.

Kaven membesar dalam keluarga penganut agama Tao tetapi mula mengenali Islam di maktab rendah selepas berkawan dengan seorang teman beragama Islam.

Antara peristiwa yang membuka hatinya untuk menyanjung Islam adalah semasa pertama kali menjejakkan kaki di Masjid Ba’alwie pada bulan Ramadan.

Anak lelaki dua beradik itu bercerita: "Meskipun saya terang-terang tidak seperti orang-orang di situ, tiada seorang pun yang menyoal mengapa saya di sana – mereka hanya tertumpu kepada ibadah mereka dan mereka sungguh baik hati. Saya ingat apabila mereka berbual dengan saya, mereka tidak bertanya mengapa saya di sini dan apa yang saya buat di sini.

Kunjungan ke Masjid Ba'alwie antara peristiwa yang membawa kesan mendalam kepada Kaven.

"Tapi sebaliknya, mereka tanya sama ada saya sudah makan, sudah minum. Dan saya tidak sangka. Saya rasa selesa seperti di rumah sendiri.".

SOKONGAN SESAMA MUALAF PENTING

Lebih 700 saudara baru memeluk Islam secara rasmi setiap tahun di Singapura sejak 2016.

Dalam kalangan mereka, golongan belia seperti Kaven tinggal sebumbung bersama anggota keluarga bukan Islam.

Beliau bersyukur kerana mereka menyokong keputusannya itu. Namun tidak semua senasib dengannya.

Rangkaian sokongan sesama mualaf penting, kata Kaven. 

"Seorang mualaf berusia 40 tahun mungkin sudah ada keluarga sendiri dan tidak berisiko kehilangan tempat tinggal sekiranya keluarganya mendapat tahu beliau sudah memeluk agama lain.

"Tetapi jika saya berusia 21 tahun dan saya masih lagi bergantung kepada ibu bapa saya, saya masih sedang belajar dan sekiranya ibu bapa saya tidak merestui keputusan saya menjadi Muslim, saya mungkin kehilangan tempat tinggal dan mungkin harus mencari tempat lain untuk berteduh. Ada mualaf yang pernah berhadapan isu-isu seperti itu," dedah Kaven.

Oleh itu, rangkaian sokongan sesama mualaf sangat penting terutama sekali bagi yang lebih muda.

Selain memberi tunjuk ajar, mereka saling menemani satu sama lain agar tiada seorang pun yang rasa dirinya keseorangan dalam mengerjakan ibadah.

"Terutamanya sekarang di bulan Ramadan, bila kami tidak boleh bersolat di masjid, mereka yang memang orang Muslim boleh saja pulang ke rumah dan berjemaah sekeluarga. Tiada masalah.

"Tapi untuk mualaf, kami betul-betul harus mendapatkan tempat untuk solat berjemaah kerana jika tidak, kami hanya boleh pulang ke rumah, dan Darul Arqam tidak dibuka buat masa ini, jadi kami akan pulang ke rumah dan solat 20 rakaat ataupun kadangkala solat sepanjang hari itu seorang diri," kongsi beliau yang giat menyumbang tenaga di Darul Arqam.

MANFAAT RAMADAN RAPATKAN UKHUWAH

Justeru, setiap Ramadan, Kaven berusaha mengumpul teman-temannya untuk bersama meraih keberkatan bulan suci itu, walaupun perjumpaan mereka terbatas dek COVID-19.

"Ramai mualaf yang saya kenali sepanjang tahun-tahun sebelum ini, ketika langkah pemutus rantaian jangkitan tahun lalu, kami terpisah tapi saya tidak rasa keseorangan kerana kami masih bertemu di Zoom untuk Tadarus dan kami baca Quran bersama. Kami tetap bertemu satu sama lain di Zoom untuk bertanya khabar ketika berbuka. Itu sangat penting bagi saya," kata Kaven.

Malah, mahasiswa Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu terdorong untuk memanfaatkan media sosial untuk mendampingi lebih ramai lagi mualaf secara online.

PODCAST DIHARAP BANTU MUALAF AGAR TIDAK KESEORANGAN

Maka itu, beliau bersama beberapa teman memulakan podcast Converts Central awal tahun lalu.

"Kami terfikir tentang cabaran-cabaran yang harus ditempuhi seorang mualaf ketika dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan – terutama sekali yang kami fikirkan adalah mualaf yang baru mengucap Syahadah Mac lalu. Ibu bapa mereka mungkin tidak tahu bahawa mereka sudah bertukar agama.

"Tambahan pula, mereka harus berdepan dengan langkah pemutus rantaian jangkitan yang memutuskan hubungan mereka dengan Darul Arqam dan orang lain," ujar beliau penuh prihatin.

Sempena Ramadan kali ini, beliau bakal mengundang 10 mualaf setiap 3 atau 4 hari untuk mengongsi doa kegemaran mereka agar para pendengar dapat sama-sama menghayatinya.

"Kami mahu menyediakan ruang bagi masyarakat di mana mereka faham bagaimana perasaan keseorangan itu dan kami cuba sebaik mungkin supaya mereka tidak akan berasa sedemikian," tambah beliau.

Pokoknya, Kaven berharap golongan mualaf muda sepertinya tidak keseorangan dalam perjalanan yang mengikut pengalaman beliau sememangnya penuh dengan cabaran.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan