Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 17,100 dapat ruang solat Hari Raya Aidilfitri di masjid setempat

Jumlah itu disebabkan ruang-ruang terhad menyusuli langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 yang diperketatkan baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 17,192 orang berjaya menempah ruang bagi solat Hari Raya Aidilfitri selepas tempahan dibuka pada pukul 10.00 pagi hari ini (11 Mei).

Demikian didedahkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kemas kini di laman Facebooknya.

Jumlah itu disebabkan ruang-ruang terhad menyusuli langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 yang diperketatkan baru-baru ini.

Setiap masjid akan mengadakan tiga sesi solat Aidilfitri. Setiap sesi terhad kepada 100 jemaah sahaja dalam dua zon berasingan, dengan 50 jemaah setiap satu.

Sebagai perbandingan, jika tidak kerana langkah-langkah pengurusan selamat yang diperketatkan itu, terdapat sekitar 61,700 ruang yang disediakan untuk menunaikan solat di masjid-masjid tempatan.

ISU SERVER 'LUMPUH'

Proses tempahan bagi ruang solat sunat Hari Raya itu berdepan masalah server komputer yang terlalu padat setelah terlalu ramai orang cuba membuat tempahan pada waktu yang sama.

Ini mencetuskan tanda tanya dan kekecewaan dalam kalangan masyarakat Islam yang mencuba untuk membuat tempahan namun gagal mendapatkan ruang.

"Oleh kerana kami menjangkakan permintaan tinggi (bagi ruang solat Hari Raya), MUIS sudah menaik taraf sistem supaya ia boleh menampung jumlah lebih seganda tempahan bagi solat Jumaat. Malangnya, server tidak dapat kekal stabil disebabkan jumlah pengguna begitu tinggi yang mencuba membuat tempahan serentak," menurut MUIS.

Sekitar pukul 10.20 pagi, MUIS memuat naik catatan di laman Facebooknya bagi memaklumkan bahawa terdapat isu server yang disebabkan oleh jumlah kunjungan yang sangat tinggi ke laman itu dan meminta pengguna mencuba lagi pada pukul 10.30 pagi.

PENTING PASTIKAN MASYARAKAT SELAMAT

Namun komen-komen yang ditinggalkan oleh para pengguna menunjukkan rasa tidak berpuas hati kerana ruang-ruang solat Aidilfitri terlalu pantas habis ditempah.

"Kami faham rasa kecewa yang dirasai oleh masyarakat, yang rindu untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid. Namun kami minta maaf kerana tidak dapat menyediakan lebih banyak ruang dan peluang untuk masyarakat buat masa ini kerana penting untuk memastikan penularan (virus) rendah dalam masyarakat dan memastikan seluruh negara selamat," tambah MUIS.

MUIS juga meminta anggota masyarakat yang tidak berjaya mendapatkan ruang solat di masjid supaya bersabar dan menunaikan solat sunat itu bersama keluarga mereka di rumah.

Khutbah Hari Raya Mufti juga akan disiarkan secara langsung di SalamSG TV untuk mereka yang tidak dapat hadir ke masjid, menurut MUIS dalam kenyataannya sebelum ini.

Cara-cara menunaikan solat Aidilfitri juga boleh diperolehi di laman muslim.sg

BACA: Kekal waspada; masyarakat Islam 'sangat digalakkan' sambut raya secara digital
Selain itu, terdapat kesilapan-kesilapan tempahan yang mana jemaah Muslimin menempah ruang untuk Muslimah.

"Kami meminta kerjasama anda untuk membatalkan tempahan dan beri peluang kepada para ibu, saudara dan anak perempuan kita untuk membuat tempahan," menurut MUIS.

MUIS turut mengajak masyarakat supaya bersyukur kerana masih berpeluang memperhalusi aspek-aspek kerohanian dan keimanan dalam bulan Ramadan dan meraikan kemenangan dalam bulan Syawal di Singapura sedang dunia bergelut dengan penularan pandemik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan