Ramadan 2021

Images
  • main kuih
    (Gambar-gambar: Instagram/thehalalfoodblog, hawraa.sg)

Keropok lekor, beraneka kuih kini boleh ditempah menerusi Instagram

SINGAPURA: Hampir semua orang akan bersetuju bahawa antara kuih Hari Raya yang paling enak adalah yang dibuat sendiri oleh ahli keluarga masing-masing.

Kebanyakan daripada perniagaan itu bermula daripada minat dan resipi keluarga turun-temurun.

Bagaimanapun, bukan senang untuk menikmati kuih-muih yang enak kerana kebanyakannya amat terhad. Lebih baik buat tempahan awal.

LEKOR LEGIT SG

Antara banyak perkara yang sudah berubah semasa pandemik adalah bekalan keropok lekor yang semakin sukar untuk diperolehi.

"Disebabkan oleh sekatan sempadan, ia semakin sukar untuk mencari keropok lekor yang enak di Singapura," menurut Cik Sarah Afina Bte Razali. "Keropok lekor yang anda dapatkan di pasar malam lazimnya terlalu banyak tepung dan tidak memiliki rasa ikan."

Apabila beliau mendapat tahu tentang seseorang yang menjual keropok lekor yang "asli", beliau mengambil kesempatan untuk menjualnya sendiri. Bersama pasangannya, Encik Rafiqul Islam Bin Sahari, mereka membeli keropok lekor itu daripada seorang lelaki yang membuatnya dengan bahan-bahan yang diimport dari Terengganu sebelum memproses dan membungkusnya.

"Sejak kami bermula beberapa minggu lalu, ia laris dijual," kongsi Cik Sarah. Menurutnya, Keropok Lekor Gulung jenis Terengganu yang dijualnya tidak kembang kerana ada lebih ikan berbanding tepung.

Bagi Lekor Bulat jenis Kelantan pula, ia berbentuk bulat dan diisi dengan keju mozzarella. Keropok lekor yang dijual bersama dengan sebotol sos, dibekukan supaya para pelanggan boleh menggorengnya sendiri. Sila ke laman Instagram mereka untuk membuat tempahan.

THE UNDERGROUND CHAI CO

Encik Mohamed Ibrahim Aslam sudah lama memendam minat terhadap minuman chai. Oleh itu apabila pemutus rantaian jangkitan dikuatkuasakan pada April tahun lalu dan ayahnya diberhentikan kerja sebagai seorang teknisyen kawalan mutu, Encik Aslam menyarankan untuk berniaga kecil-kecilan dari rumah.

Hari ini, keluarga itu menjual teh susu selatan India dan masala chai, dan snek India klasik seperti pakoda bawang, roti kari ayam dan muruku yang dibuat oleh ibunya Cik Anisha Begum. Muruku tersebut merupakan yang paling popular dan dibuat berdasarkan resipi keluarga Begum yang kurang menggunakan minyak dan garam.

Teh-teh Encik Aslam amat enak dan lemak. Beliau berharap dapat menyimpan wang yang mencukupi untuk membuka sebuah kedai kecil bagi menjual teh-teh yang dibuatnya dan snek ibunya itu. Tempahan boleh dibuat pada hujung minggu dan boleh diisi dalam borang pesanan di laman Instagramnya.

ANA’S KOOKIES

Perniagaan keluarga Encik Salleh bermula 10 tahun lalu di bazar Ramadan Geylang Serai. Apabila bazar tersebut semakin bertambah popular, harga sewa gerai juga meningkat. Oleh itu, keluarga tersebut beralih ke perniagaan online, menjual biskut-biskut mereka di Facebook dan Instagram.

Selain mengurangkan kos membayar sewa, ini juga bermakna mereka boleh menjual produk-produk mereka pada bila-bila masa dan bukan hanya sempena musim perayaan. Para pelanggan kerap membeli kuih makmur dan biskut suji yang dibuat oleh Cik Zainah, 58 tahun.

Selain itu, terdapat juga kuih-muih moden seperti tart Nutella yang dihiasi dengan bijirin yang dibuat oleh anak lelakinya, Encik Muhammad Farmy. Kuih tart Cik Zainah juga amat popular - teksturnya amat lembut, lemak dan nanasnya tidak terlalu manis. Sila DM untuk membuat tempahan di akaun Instagram mereka.

MY KID’S CRAVINGS

Dua Ramadan lalu, Cik Frirafizah Abdul Razak mula membuat kuih kegemaran anak-anaknya. Beliau berkongsinya dengan jiran tetangganya yang amat menggemarinya sehinggakan ia mendorongnya untuk mula berjualan secara kecil-kecilan dari rumah.

Apabila pandemik melanda tahun lalu, perniagaan perhiasan perkahwinan Cik Frirafizah terjejas teruk dan beliau mula menumpukan perhatiannya kepada perniagaan membuat kuih, yang dinamakan My Kid's Cravings.

Malah, beliau juga mengajak makciknya, Cik Esadora Bte Jamil untuk turut serta dalam perniagaannya.

"Kami tinggal berdekatan dan bersama, kami boleh menawarkan lebih banyak pilihan. Cik Esadora membuat biskut dan kek gulung sementara Cik Frirafizah pula, kunafe, kek gula hangus dan baklava rings yang berperisa coklat Oreo dan Nutella sea salt pistachio. DM Frirafizah di laman Instagramnya untuk membuat tempahan. 

- CNA/NA/na

Top