Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kekal waspada; masyarakat Islam 'sangat digalakkan' sambut raya secara digital

MUIS ambil beberapa langkah bantu masyarakat Islam tunai keperluan agama sempena Hari Raya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Islam setempat sangat digalakkan agar "berkumpul" dengan keluarga dan rakan-rakan secara digital semasa meraikan Hari Raya yang bakal menjelang, untuk mengurangkan lagi risiko penularan COVID-19.

Demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerusi kenyataan medianya hari ini (7 Mei).

MUIS juga menyatakan ia akan mengambil beberapa langkah untuk membantu masyarakat menunaikan keperluan agama namun dalam masa yang sama memastikan keselamatan semua orang.

TEMPAHAN SOLAT HARI RAYA

Jika anda ingin menunaikan solat Hari Raya di masjid, tempahan akan dibuka mulai pukul 10.00 pagi pada Selasa (11 Mei).

Tempahan bagi ruang solat Hari Raya boleh dibuat menerusi https://ourmosques.commonspaces.sg atau aplikasi Muslim.sg.

Jumlah ruang yang ada di setiap masjid akan tertera dalam sistem tempahan online itu.

"Kami ingin mengingatkan jemaah yang tidak sihat atau tidak dapat menghadiri sesi solat supaya membatalkan tempahan supaya orang lain berpeluang membuat tempahan," menurut MUIS.

MALAM & PAGI HARI RAYA

Pada malam Hari Raya, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir akan memimpin sekumpulan asatizah untuk membaca Takbir Raya dan ini akan disiarkan secara langsung menerusi SalamSG TV.

Pada pagi Hari Raya, masjid-masjid akan mengadakan solat Hari Raya berjemaah dengan memastikan langkah-langkah pengurusan selamat dijaga.

Setiap masjid akan mengadakan tiga sesi solat Aidilfitri.

Setiap sesi terhad kepada 100 jemaah sahaja dalam dua zon, dengan 50 jemaah setiap satu.

Khutbah Hari Raya Mufti juga akan disiarkan secara langsung di SalamSG TV untuk mereka yang tidak dapat hadir ke masjid, menurut MUIS.

Bagi yang menunaikan solat Hari Raya bersama-sama keluarga di rumah, MUIS sudah menyediakan pelbagai sumber di laman https://muslim.sg.

PESAN MUFTI

Semasa menyambut Aidilfitri, Dr Nazirudin menggesa masyarakat Islam setempat supaya merenung kembali latihan yang sudah kita semua jalani sepanjang tahun lalu dan bagaimana ia sudah mempersiap kita untuk berdepan dengan lebih banyak cabaran.

Beliau menambah, memang boleh difahami, bahawa ramai yang berasa sedih dan kecewa apabila sekatan-sekatan lebih ketat dilaksanakan apabila Hari Raya hampir menjelang.

Namun, beliau menekankan bahawa varian baru virus yang lebih mudah berjangkit yang sedang menular adalah "peringatan suram bahawa kita masih lagi dalam keadaan pandemik".

"Ayuh kita pastikan musim Hari Raya kali ini sangat selamat, di mana kita berwaspada, berdaya bingkas dan bersatu. Apabila kita patuhi langkah-langkah keselamatan, kita memastikan masyarakat dan negara kita selamat. Apabila kita melakukan demikian, masyarakat lain akan mengiktiraf agama kita sebagai agama yang melindungi kesejahteraan orang lain.

"Inilah sumbagan kita dalam meneruskan semangat ihsan dan kebaikan yang kita pelajari dalam bulan Ramadan," kata Dr Nazirudin.

SAMBUT RAYA DENGAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Dalam masyarakat Islam menyambut Aidilfitri, MUIS mengingatkan semua orang agar meraikannya dengan tanggungjawab sosial.

Masyarakat Islam setempat diminta mengambil langkah-langkah seperti berikut:

  • Hadkan perhimpunan sosial atau lawatan ke rumah kepada hanya dua dalam sehari
  • Setiap rumah hanya boleh menerima tidak lebih lima tetamu setiap hari
  • Amalkan 'Salam Mufti', yang mana tangan diletakkan pada bahagian dada sebagai tanda mengucap selamat dan bertegur sapa
  • Sentiasa pakai pelitup apabila mengunjungi saudara-mara dan rakan-rakan di rumah mereka, semasa tidak makan dan minum
  • Elakkan daripada berkongsi makanan dengan orang lain
  • Duduk rumah jika tidak sihat dan segera berjumpa doktor untuk menjalani ujian apabila sakit
  • Elak berkunjung ke tempat-tempat yang sesak dan duduk rumah seberapa banyak yang boleh 
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan