Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kakitangan dan relawan masjid giat buat persiapan sambut jemaah solat tarawih

Dengan lebih banyak persiapan diperlukan bagi pengurusan selamat, masjid-masjid juga bergantung kepada tenaga sukarelawan dan Duta Perkhidmatan Ramadan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pada hujung minggu terakhir menjelang Ramadan, masjid-masjid sibuk membuat persiapan bagi menyambut para jemaah untuk solat tarawih.

Di tengah-tengah pandemik COVID-19, tugas ini turut disokong oleh para sukarelawan dan Duta Perkhidmatan Ramadan.

Ini bagi memastikan langkah-langkah pengurusan selamat dipatuhi.

Bagi Masjid Al-Muttaqin, para sukarelawan pada Ahad (11 Apr) membentangkan tikar kalis air yang baru bagi menyambut para jemaah Ramadan ini.

Sekitar 30 sukarelawan sudah mendaftar bagi membantu para kakitangan masjid membuat persiapan dan menguruskan jemaah solat tarawih dan qiyamulail.

Jika sebelum pandemik, masjid di Ang Mo Kio ini menyambut kira-kira seribu jemaah bagi solat tarawih, tahun ini mereka hanya dapat membuka ruang bagi 250 jemaah.

Ini setelah pihak masjid menambah dua lagi ruang tempat solat berasingan.

Sebelum ini, hanya tiga ruang berasingan dibuka bagi solat lima waktu.

Dengan lebih banyak persiapan dijangkakan, pihak pengurusan masjid memilih untuk meniadakan pengagihan bubur dan khidmat pembayaran zakat secara fizikal.

Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin, Mohd Fairus Abdul Manaf menjelaskan, "Kami mahu memberi fokus kepada menyediakan kawasan, menyediakan tempat solat tarawih yang lebih kepada para jemaah daripada tiga zon kepada lima zon. Jadi untuk ini, kami akan memerlukan lebih ramai staf yang akan dikerahkan kepada dua syif, sebanyak 15 petugas yang akan dikerahkan untuk bertugas membantu pada setiap malam untuk pengurusan solat tarawih masjid."

Bagi masjid yang mengadakan khidmat pembayaran zakat secara fizikal seperti Masjid Darul Ghufran, persiapan teknikal juga perlu dibuat.

Ini memandangkan mereka perlu mengendalikan sendiri laman web bagi tempahan slot pembayaran zakat.

Sebanyak 30 tempat untuk pembayaran zakat secara fizikal dibuka oleh Masjid Darul Ghufran pada setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

"Cabarannya daripada sudut tenaga relawan ataupun tenaga petugas yang kami mengharapkan lebih ramai dan Alhamdulillah, kali ini, kita dapat juga ramai daripada relawan-relawan kita yang sudi membantu untuk memakmurkan masjid, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini," jelas Pegawai Keagamaan Masjid Darul Ghufran, Ustaz Fakhrudin Amin.

Selain itu, pihak masjid juga bersedia untuk menyambut lebih ramai jemaah wanita yang mungkin belum terbiasa dengan beberapa langkah pengurusan selamat.

Mengulas hal itu lebih lanjut, Ustaz Fakhrudin berkata, "Yang selalu hadir ke masjid adalah Muslimin, setiap minggu pada solat Jumaat. Jadi, peluang untuk Muslimah untuk ke masjid itu agak kurang. Mungkin ini merupakan kali pertama dan kami jangkakan ia akan memberikan cabaran, berkemungkinan mereka belum terbiasa dengan norma-norma baru di masjid."

Maka itu, masjid yang terletak di bahagian timur itu akan mendapatkan sehingga lima sukarelawan wanita untuk membantu jemaah yang mahu bersolat tarawih di situ.

Dalam kurang masa 24 jam tempahan dibuka pada pukul 9.00 malam pada Sabtu (10 Apr), kesemua 250 tempat bagi solat Isyak dan tarawih di kedua-dua Masjid Darul Ghufran dan Masjid Al-Muttaqin untuk hari pertama terawih pada Isnin (12 Apr) sudah habis ditempah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan