Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hulur bubur Ramadan dan makanan percuma sambil sebar mesej Dadah Itu Haram

Usaha mengagihkan makanan percuma kepada penduduk kurang mampu sempena Ramadan dan menyebarkan mesej antidadah dijalankan serentak kepada sekitar 80 keluarga pada Jumaat (30 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha mengagihkan makanan percuma kepada penduduk kurang mampu sempena Ramadan dan menyebarkan mesej antidadah dijalankan serentak kepada sekitar 80 keluarga pada Jumaat (30 Apr).

Ia berlangsung di Sembawang, Woodlands dan Yishun dengan tenaga kerja 30 sukarelawan dari Project Pencil Singapore dan Yishun 71 - iaitu badan bukan mencari untung.

Semasa agihan di Blok 714 Yishun Street 71 siang tadi, mereka menyiapkan bungkusan bubur dan habuan makanan untuk diagihkan.

Yang pasti pengagihan itu berbeza sedikit daripada biasa kerana ia turut menggabungkan kempen Dadah itu Haram di mana mesej antidadah disampaikan kepada sekitar 80 keluarga penerima bantuan.

"Kita harus bermain peranan untuk memberi ilmu kepada anak-anak ini beritahu mereka, didik mereka tentang apakah penyalahgunaan dadah dan juga padahnya jika mereka terlibat," kata pengasas Project Pencil Singapore, Cik Sarimah Amat.

JANJIKAN SUASANA RAYA YANG LEBIH 'MERIAH'

Pasukan Cik Sarimah sebenarnya giat melakukan pelbagai inisiatif kemasyarakatan lain seperti memberi tuisyen percuma hinggalah khidmat mencari kucing yang hilang.

Bermula sejak tahun 2020, pihaknya mengagihkan bubur percuma setiap hari Jumaat dan Sabtu, sepanjang Ramadan kepada para penduduk di Yishun.

Bahkan, semangat kejiranan bakal disemarakkan lagi apabila satu acara bertakbir beramai-ramai secara Zoom diadakan pada Hari Raya nanti.

"Kita mengundang jiran-jiran kita dan semua penduduk Singapura bertakbir dengan kita di malam raya. Pasti meriah InsyaAllah!" tambah Cik Sarimah.

Turut bersama-sama menyingsing lengan untuk menghidupkan mesej kebajikan dan kesedaran antidadah itu ialah Menteri Negara Ehwal dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim.

"Ini adalah satu inisiatif yang baik dan saya rasa ia boleh memainkan peranan dalam membasmi penyalahgunaan dadah.

"Saya harap kita boleh melakarkan lebih banyak kolaborasi dengan kumpulan-kumpulan yang lain di merata Singapura supaya kita dapat meneruskan usaha ini," kata Dr Faishal yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Nee Soon.

Bagi dua keluarga yang tidak berupaya mengambil makanan dari kolong blok tersebut, Dr Faishal sendiri menghantarnya ke rumah mereka.

Keluarga pertama yang beliau kunjungi ialah Cik Ratipa Ribot seorang ibu yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak dewasanya yang sakit sejak lapan tahun lalu.

"(Bantuan ini) memang banyak meringankan jadi terima kasih kepada pihak Dr Faishal yang banyak membantu golongan seperti saya," kata Cik Ratipa.

Sebuah lagi keluarga yang menerima bubur dan habuan makanan dalam kunjungan itu ialah warga emas bernama Cik Sutirah Saring.

Ia memberi sedikit keceriaan kepadanya yang menjaga suaminya yang sudah lanjut usia yang menghidap pelbagai komplikasi penyakit.

"Alhamdulillah saya suka. Terima kasih banyak-banyak kepada (Cik) Sarimah yang membantu saya sekeluarga," luah Cik Sutira.   

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan