Skip to main content

Iklan

Iklan

Hampir 700 keluarga memerlukan di Eunos terima habuan M³@Geylang Serai

Hampir 700 keluarga Melayu/Islam termasuk lebih 500 keluarga yang tinggal di rumah-rumah sewa di Eunos Crescent, Marine Crescent dan Marine Terrace, mendapat agihan bubur dan barang dapur percuma setiap Sabtu sepanjang bulan Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 700 keluarga Melayu/Islam termasuk lebih 500 keluarga yang tinggal di rumah-rumah sewa di Eunos Crescent, Marine Crescent dan Marine Terrace, mendapat agihan bubur dan barang dapur percuma setiap Sabtu sepanjang bulan Ramadan ini.

Kerja amal itu digerakkan M³@Geylang Serai dengan bantuan seramai 150 sukarelawan dari pelbagai latar belakang.

SEJAK 10 TAHUN IDRAQI SUDAH LAKUKAN KERJA SUKARELAWAN

Antara sukarelawan itu termasuklah Muhammad Idraqi Omar, berusia 15 tahun.

Baginya, usia muda tidak pernah menjadi satu halangan untuk bergiat aktif dalam kerja kemasyarakatan.

Bahkan, sejak usianya 10 tahun lagi, Pelajar Sekolah Menengah Canberra ini sudah meluangkan masa setiap minggu bersama bapanya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Saya membuat kerja-kerja sukarelawan ini kerana saya ingin membuat masyarakat kita menjadi suatu tempat lebih baik dan saya ingin meluangkan masa lapang saya untuk melakukan usaha mulia seperti ini," kata Idraqi kepada BERITAmediacorp.

"Dengan melakukan kerja-kerja relawan, saya rasa seperti diri saya berubah kerana pada dahulunya, saya seorang kanak-kanak yang sangat degil," cerita Idraqi lagi jujur tentang perubahan hidupnya.

AGIHAN BUBUR, BARANGAN RUNCIT SETIAP SABTU

Idraqi adalah antara 150 sukarelawan dari pelbagai sekolah menengah dan pertubuhan yang turun padang untuk membantu pengagihan habuan Ramadan di bawah naungan M³@Geylang Serai itu.

Pada setiap Sabtu sepanjang bulan Ramadan tahun ini, golongan sukarelawan itu bekerjasama mengagihkan bubur panas-panas yang disiapkan kakitangan Masjid Khalid serta barangan runcit kepada hampir 700 keluarga fakir miskin dan memerlukan.

Pada Sabtu kedua bulan Ramadan sahaja, lebih 380 keluarga Melayu/Islam yang tinggal di Eunos Crescent dan Haig Road menerima bantuan sedemikian.

Pada Sabtu pertama (17 Apr), kumpulan sukarelawan itu mengagihkan habuan kepada sekitar 100 keluarga Melayu/Islam di Marine Terrace. Salah satu daripada penerima habuan itu adalah keluarga Encik Muhammad Firdaus Akbar, 35 tahun.

Encik Firdaus tinggal di Eunos Crescent bersama isteri serta dua anaknya yang berumur 2 dan 4 tahun.

Sejurus selepas menerima habuan daripada Idraqi, Encik Firdaus melahirkan rasa gembiranya.

"Amat terharu dibantu. Bulan Ramadan ini walaupun rasa susah, dapat bantuan sebegini kita rasa bertuah dan gembira kerana satu keluarga boleh makan untuk berbuka puasa," katanya kepada wartawan.

PEMIMPIN M³@GEYLANG SERAI TURUN PADANG AGIHKAN HABUAN

Turut menyingsing lengan bagi usaha itu ialah Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman, yang juga merupakan ketua M³@Geylang Serai.

Encik Fahmi berkata: "Saya rasa inisiatif ini adalah sesuatu yang perlu kita lakukan di M³@Geylang Serai terutama sekali tahun ini adalah tahun pertama dan Ramadan pertama kita adakan acara ini untuk membantu masyarakat Melayu kita di sini.

"Saya rasa mereka akan rasa gembira kerana ramai yang telah saya berjumpa, ada yang bertanya apakah program-program yang akan diadakan."

Acara pengagihan habuan di kawasan Eunos Crescent dan Haig Road diakhiri dengan sesi iftar secara online bersama para penduduk Geylang Serai.

Pada dua minggu mendatang, lebih 300 penduduk di Marine Crescent pula akan menerima bantuan inisiatif tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan