Ramadan 2021

Images

Gerakan ‘makcik’ ini sediakan iftar hampir setiap hari untuk 100 keluarga rumah sewa di Jalan Kayu

BERITAmediacorp: Hampir setiap hari biasa sejak bulan Ramadan bermula, bunyi ketukan pintu memecahkan kesunyian petang di blok 446A Jalan Kayu.

Salah seorang penghuninya Cik Rosiah Hussen, bersama sekumpulan rakan relawan, sibuk ke hulur dan ke hilir menolak troli sambil mengagihkan habuan berbuka puasa kepada keluarga Muslim yang tinggal di rumah-rumah sewa.

Ketika kru kami ikut serta agihan sajian berbuka puasa, menu yang disediakan termasuk nasi ayam, nasi jagung berserta dadih mangga dan coklat sebagai pencuci mulut.


Cik Rosiah, 56 tahun, memang cukup dikenali oleh penduduk estet perumahan ini.

Pada bulan Ramadan tiga tahun lalu, beliau mengambil inisiatif memulakan majlis iftar bersama jiran tetangga pada setiap Isnin hingga Jumaat tanpa sebarang sokongan dana.

Cik Rosiah dan para penghuni sendirilah yang menyumbang lauk-pauk serta kuih-muih untuk dijamu bersama.

Malangnya, usaha itu tidak dapat diteruskan kali ini.

“Memandangkan keadaan wabak COVID-19, kami tidak boleh berkumpul ramai-ramai di bawah blok. Jadi saya ada satu idea. Okeylah, saya buat habuan hantar rumah ke rumah. Kali ini, saya panggil seorang katerer untuk masak. Penderma akan mengirimkan duit dan saya akan bagi katerer untuk buat apa-apa tetapi idea menu semua saya yang uruskan,” kongsi Cik Rosiah yang sudah menetap di Jalan Kayu selama 10 tahun.

SASAR BANTU SEBANYAK 100 KELUARGA

Lazimnya Cik Rosiah menguar-uarkan panggilan untuk penderma melalui Facebook.

Meski pernah menjalankan usaha yang serupa secara sendirian pada 2019, beliau ingin menghulurkan bantuan kepada lebih ramai keluarga tahun ini.

Setakat ini, terdapat seramai 70 keluarga dalam senarai penerima yang disusun Cik Rosiah dan empat rakan relawannya. Mereka ingin menggenapkan bilangan itu kepada 100 keluarga.

“Pada hari-hari biasa Isnin hingga Jumaat, (para penerima ini) bekerja jadi masing-masing penat nak masak jadi saya sudah sediakan sajian untuk berbuka puasa. Mereka akan bergembira. Senang, kan? Itulah harapan saya. Nak lihat mereka gembira,” tambah Cik Rosiah.

Sebagai seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak, Cik Rosiah sendiri sudah banyak mengharungi liku-liku kehidupan.

Beliau juga pernah menghidap barah payu dara enam tahun dahulu tetapi mujur, beliau berjaya melawannya.

Meski Cik Rosiah sendiri hidup dalam keadaan yang serba sederhana, pengalaman hidup inilah yang membakar semangat beliau untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik, terutama sekali ibu bapa tunggal dan warga tua yang tidak berdaya.


Berkongsi tentang peristiwa yang menyayat hati beliau, Cik Rosiah menceritakan: “Bila saya ketuk pintu, lihat anak-anak ramai. Budak-budak kecil lagi. Tanya “orang tua mana?”. “Mak kerja”. Ibu bapa mereka kerja jadi mereka bersendirian di rumah”.

“Dalam lima enam orang saya tengok di situ. Rasa macam tidak apalah, saya bagi (makanan) ini, Alhamdulillah mungkin mereka dapat rasa kenyang. Kadang-kadang saya kasi lebih. Kalau nampak budak-budak kecil ramai-ramai, saya akan kasi lebih. Walaupun tidak cukup, saya cuba untuk cukupkan”.

Selagi diberi kekuatan dan kemampuan, Cik Rosiah bertekad untuk terus menyediakan juadah berbuka untuk jiran tetangganya pada bulan-bulan Ramadan mendatang. 

- BERITAmediacorp/ha

Top