Ramadan 2021

Images

Depan rumah flat dijadikan 'gerai percuma' agih keperluan dapur untuk golongan memerlukan

BERITAmediacorp: Sepanjang bulan Ramadan, kerja-kerja amal seperti pengagihan makanan lazimnya dijalankan oleh badan-badan Melayu/Islam dan juga masjid-masjid di premis masing-masing.

Jika tidak pun, ia dijalankan di kolong-kolong blok.

Namun bagi sepasang suami isteri dalam laporan berikut, mereka menjadikan depan pintu flat HDB mereka sendiri, sebagai tapak pengagihan makanan percuma.

Berikut kisah inisiatif mereka.

MAKANAN, MINUMAN, TUDUNG & BAJU HARI RAYA PERCUMA...


Sekali pandang, meja berisi pelbagai jenis makanan kering dan minuman di koridor sebuah flat ini tak ubah seperti sebuah gerai.

Ada berkampit-kampit beras ditawarkan, selain minyak-minyak masak.

Malah ada juga tudung, telekung dan baju-baju Hari Raya - semuanya baru-baru dan belum terpakai.

Menariknya, semua barangan keperluan itu percuma kepada sesiapa sahaja yang mahukannya - tiada syarat dan tiada soalan ditanya.


Lebih menarik lagi, 'gerai' itu terletak di tepi pintu masuk flat Encik Asanul Fariq Sani, dan isterinya Cik Norhasyimah Awaludin, di tingkat dua Blok 268 Tampines St 21.

Hakikatnya, ruang yang disediakan pasangan itu adalah ruang Infaq yang dipasang sejak seminggu lalu, demi membantu golongan fakir miskin.


(Gambar: Hakim Irwan/BERITAmediacorp)

Meskipun berdepan dengan halaman depan rumah yang kecil, ia bukan suatu masalah kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Cik Norhasyimah menambah: "Tujuan kita memulakan inisiatif ini untuk membantu mereka yang memerlukan dan tidak bersuara jadi kita mendekati mereka semua agar tampil ke hadapan."

Usaha kebajikan itu dihebahkan menerusi media sosial Facebook sahaja dan menurut mereka sambutannya di luar jangkaan, sehinggakan perlu menambah stok sehingga lima kali sehari.

"Sejauh ini kita telah memberi sekitar 50 hingga 70 paket beras (5kg). Yang nombor dua, Milo, kopi, teh Lipton, agak-agak dalam lima karton, itu mungkin sudah 200 paket. Kita juga menyediakan telekung, tudung dan baju kurung sehinggakan bila kita letakkannya di luar, ia akan habis dalam sehari," ujar Encik Fariq kepada BERITAmediacorp.



(Gambar ihsan: Asanul Fariq Sani)

Pasangan suami isteri itu juga mendapat tahu menerusi catatan media sosial bahawa mereka yang datang untuk mengambil barangan yang disediakan, tidak semestinya tinggal berdekatan.

"Ada yang datang dari Redhill, Chua Chu Kang, Jurong dan sangat tersentuh sekali adalah mereka yang berkerusi roda dan kurang upaya mereka dari jauh datang sanggup mengambil, pada saya, barangan asas yang mungkin semua orang boleh beli tetapi ia membuka mata bahawa bukan semua orang itu senang," kongsi Cik Norhasyimah.

BARANGAN BERNILAI S$5,000 DIAGIHKAN SEJAUH INI

Pasangan itu yang berniaga makanan di kantin sebuah sekolah rendah berkata mereka mengeluarkan S$3,000 dari simpanan sendiri untuk projek itu sementara lagi S$2,000 dalam bentuk tunai dan barang-barang dapur, didermakan oleh orang ramai.

Yang pasti, usaha murni dari masyarakat untuk masyarakat itu juga suatu cara Encik Fariq dan Cik Norhasyimah mendidik empat orang anak mereka erti kehidupan.


Keluarga Encik Fariq menyiapkan barang untuk diinfaq (Gambar: Hakim Irwan/BERITAmediacorp)

Cik Norhasyimah berkata: "Kita ingin menunjukkan kepada anak-anak untuk mereka juga dapat memupuk nilai-nilai murni seperti Memberi dan berkongsi tanpa syarat pada bila-bila masa sama ada sikit ataupun banyak. Saya didik anak-anak, kita jangan menghakimi. Kita mungkin melihat seseorang itu seperti mewah tetapi mungkin mereka ada masalah kewangan."

Jadi, bagaimana sebenarnya idea menganjurkan kerja amal ini tercetus?

Menurut Encik Fariq, 49 tahun, ia tercetus dari pengalaman beliau membantu para pekerja Malaysia yang terkandas di Singapura sejak tahun lalu.

"Jadi sejak itu, kita mempertimbangkan bagaimana kita dapat menolong orang-orang sebegini tidak kira orang Malaysia atau Singapura. Yang penting kita menyediakan wadah untuk mereka mendapatkan keperluan asas ini.


Jika anda memerlukan bantuan, 'gerai percuma' Encik Fariq dibuka 24 jam setiap hari - tidak kira panas ataupun hujan.

Pasangan itu malah berharap untuk menyediakan juga makanan sudah dimasak pada hari-hari mendatang. 


- BERITAmediacorp/tq

Top