Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dahulu dibantu, kini penghuni Rumah Peralihan PERTAPIS bantu 50 golongan memerlukan

Pada hujung minggu seperti hari ini, apatah lagi cuti umum, sememangnya ramai yang meluangkan masa untuk bersama keluarga di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pada hujung minggu seperti hari ini, apatah lagi cuti umum, sememangnya ramai yang meluangkan masa untuk bersama keluarga di rumah.

Namun, tidak begitu bagi beberapa penghuni dan bekas penghuni Rumah Peralihan PERTAPIS (PHH).

Mereka memilih untuk mengisi masa mereka dengan menghantar sajian berbuka puasa kepada golongan yang memerlukan.

Ini dilakukan atas semangat ihsan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat selepas mereka sendiri menerima banyak sokongan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Berkat lesen memandu Kelas 3 yang diperoleh di bawah program 'Drive for Change' (DFC), mereka dapat menghulurkan masa dan tenaga untuk menjalankan usaha tersebut.

BANTU PENGHUNI DAPATKAN KERJA

Di bawah program DFC, 30 penghuni Rumah Peralihan PERTAPIS dihantar belajar memandu bagi lesen Kelas 3 dan separuh daripada mereka telah lulus dan mendapat pekerjaan atau sedang mengambil lesen memandu Kelas 4.

"Dengan lesen memandu ini, saya boleh membuat kerja-kerja tambahan dengan kenderaan sebab sekarang ini lesen Kelas 3 pun mempunyai permintaan tinggi," kata Saiful, bukan nama sebenar.

Bagi Saiful yang mempunyai empat orang anak, ini juga merupakan peluang untuknya mencari pendapatan bagi keluarganya.

"Saya fikir kalau saya ada membuat kerja sambilan, dapatlah pendapatan lebih yang saya boleh berkongsi bersama keluarga saya," tambahnya.

SUMBANG KEPADA MASYARAKAT

Kemahiran dan pengalaman yang ditimba juga dimanfaatkan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Bagi acara pengagihan pada Sabtu (1 Mei), PERTAPIS menerima sumbangan makanan yang ditaja syarikat penyedia makanan, Mamanda.

Penerima bantuan yang termasuk warga emas yang tinggal bersendirian serta ibu bapa tunggal juga diberi baucar NTUC bernilai S$50.

"Kami sudah biasa hidup susah, jadi sekarang ini, masa untuk kami dan juga teman-teman kami di DFC ini untuk membantu yang lain selagi mampu," kata Encik Mohd Dahlan Mashot, yang berjaya memperoleh lesen memandu Kelas 3 dan 4.

"Jika kita membantu orang lain lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya ini, sekurang-kurangnya ini dapat memeriahkan lagi perayaan mereka," tambah Encik Dahlan.

Yang jelas, Bulan Ramadan ini ternyata membakar semangat ihsan dan memberi bagi para penghuni PHH ini.   

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan