Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bagaimana pastikan anda cukup minum air putih ketika berpuasa? Ini caranya...

Dalam bulan Ramadan, mungkin agak sukar untuk meminum air secukupnya. Jadi bagaimana harus kita bahagikan jumlahnya sedang kita berpuasa?

Anggaran Waktu Membaca:
Bagaimana pastikan anda cukup minum air putih ketika berpuasa? Ini caranya...

Gambar hiasan air botol (Gambar: AFP/Frank Fife)

Diterbitkan : 17 Apr 2021 11:10PM Dikemas Kini : 17 Apr 2021 11:13PM

INDONESIA: Minum air putih sangat digalakkan sebagai salah satu cara untuk menjaga kesihatan tubuh.

Ramai yang biasa mendengar bahawa jumlah ideal air putih yang perlu diminum dalam sehari adalah sebanyak lapan gelas.

Namun, dalam bulan Ramadan, mungkin agak sukar untuk meminum air secukupnya. Jadi bagaimana harus kita bahagikan jumlahnya sedang kita berpuasa?

Pakar khasiat pemakanan Indonesia, Dr Tan Shot Yen M. Hum memberitahu laman Kompas, bahawa meminum air putih tidak seharusnya berdasarkan lapan gelas sehari.

"Lapan gelas (air putih) juga bergantung kepada individu. Wanita yang bertubuh kecil berbeza daripada lelaki yang bertubuh tinggi," kata Dr Tan semalam (16 Apr).

Selain itu, beliau menambah, untuk meminum lapan gelas sehari juga harus bergantung kepada keadaan kesihatan seseorang. Misalnya, mereka yang menghidap masalah buah pinggang.

Orang yang menghidap masalah buah pinggang perlu berhati-hati meminum air putih mengikut nasihat doktor, lapor Kompas yang memetik Dr Tan.

PERHATIKAN WARNA AIR KENCING

Dr Tan menyarankan agar setiap orang memantau warna air kencing mereka untuk mengetahui sama ada mereka meminum jumlah air putih yang mencukupi.

"Bagi saya, ia lebih mudah. Minum air sehingga warna air kencing anda jernih atau kuning muda," kata Dr Tan.

Beliau menambah, semakin jernih warna air kencing seseorang, tandanya individu itu sudah cukup minum air.

Sebaliknya, jika warna air kencing kuning pekat, maka individu itu kurang hidrasi atau kurang minum air.

Dr Tan juga mengingatkan agar mengelakkan diri daripada meminum kopi atau teh semasa bersahur dan berbuka puasa.

"Hilangkan sabotajnya: iaitu teh dan kopi. Kedua-duanya minuman diuretik yang membuatkan seseorang kerap membuang air kecil. Maka tubuh tidak dapat menahan air," kata beliau, seperti yang dilaporkan Kompas.

Minum air putih boleh dilakukan apabila tekak terasa haus atau sebelum tidur.

Sekalipun demikian, perlu diingat bahawa meminum air putih sebelum tidur jangan sampai ia menjejas tidur. Ini kerana ia boleh membuatkan seseorang kerap terjaga untuk membuang air kecil.

Keperluan tubuh kepada air tidak boleh digantikan dengan makanan atau yang lain-lain.

"Air (putih) tidak boleh digantikan. Ia tidak sama dengan cecair lain," ujar Dr Tan.

BAHAYA KURANG MINUM AIR PUTIH

Dr Tan berkata, terdapat banyak sebab tubuh memerlukan air setiap hari.

Lantaran itu, bahaya jika kurang minum air putih, tambah beliau.

Antara sebab tersebut adalah:

  • Kurangnya air dalam tubuh memaksa beberapa bahagian organ dalam tubuh untuk bekerja lebih keras sehingga akhirnya ia terhenti.
  • Air adalah sumber utama tenaga.
  • Air meningkatkan keberkesanan sistem kekebalan pada sumsum tulang termasuk untuk mencegah barah.
  • Air adalah bahan pelarut utama bagi semua jenis makanan, vitamin dan mineral. Ia digunakan untuk melarutkan bahan-bahan tersebut termasuk metabolisme.
  • Air meningkatkan kemampuan tubuh untuk menyerap zat-zat penting dalam makanan. Jika tubuh kurang air, maka tubuh tidak dapat menyerapnya dengan baik.

"Kurang minum (air putih) boleh menyebabkan pelbagai masalah. Ada yang mengalami tekanan darah tinggi, sering sakit kepala sehingga mengalami masalah pencernaan makanan," kata Dr Tan lagi. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan