Skip to main content

Iklan

Iklan

AP Melayu/Islam PAP sumbang S$18,500 kepada Persatuan Jurulatih dan Tenaga Pengajar Kebangsaan

Para Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam telah menderma S$18,500 kepada Persatuan Jurulatih dan Tenaga Pengajar Kebangsaan (NICA) hari in (3 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 May 2021 06:24PM Dikemas Kini : 03 May 2021 09:35PM

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah menderma S$18,500 kepada Persatuan Jurulatih dan Tenaga Pengajar Kebangsaan (NICA) hari in (3 Mei).

Cek disampaikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli kepada Presiden NICA Adrian Chiang dengan disaksikan bersama Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Pendidikan dan Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman serta Setiausaha Eksekutif NICA, Cik Jean See.

Bagi mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat, sebilangan besar AP lain mengikuti acara itu secara online.

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian usaha tahunan sumbangan Ramadan AP Melayu/Islam.

Bermula pada 2008, para penerima sumbangan tahunan Ramadan tersebut dipilih berdasarkan kesan kerja atau insiatif mereka dalam memenuhi keperluan kumpulan sasaran dalam masyarakat.

Penerima sebelumnya termasuk Casa Raudha, Program Jagaan PERGAS bagi bekas banduan Melayu/Islam, Club Heal dan badan tidak mencari untung Muslim Youth Forum (MYF).

NICA, yang ditubuhkan oleh NTUC pada 2019, adalah wakil dan suara bagi golongan jurulatih serta tenaga pengajar. Ia menyokong dan memajukan perihal gaji, kebajikan serta prospek kerja para anggotanya. Mereka termasuk jurulatih atau pengajar yang bekerja bebas mahupun individu yang bekerja sendiri dalam bidang-bidang sukan, pembelajaran atau pengembaraan luar, kecergasan dan kesejahteraan, seni visual dan persembahan serta pengayaan.

Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, menekankan betapa pentingnya mempunyai sebuah masyarakat yang bersatu untuk membantu sesama warga Singapura bangkit semula dalam masa-masa mencabar seperti pandemik COVID-19 sekarang.

"Di bulan Ramadan yang penuh barakah ini, saya harap sumbangan kami ini sedikit sebanyak dapat menyokong dan memperkasa mereka dan keluarga mereka agar bangkit lebih kukuh selepas pandemik ini nanti", kata Encik Masagos.

"Ramai yang terjejas dan pendapatan yang berkurangan mengakibatkan ramai menghadapi kesukaran menampung keperluan harian. Oleh itu, saya gembira dengan usaha NICA untuk menyokong anggota mereka," katanya dalam catatan di Facebook.

Sumbangan tersebut akan disalurkan ke dalam geran kesulitan yang ditubuhkan NICA sebagai sebahagian daripada usahanya untuk membantu jurulatih dan tenaga pengajar yang menghadapi cabaran kewangan akibat pandemik COVID-19.

Encik Masagos dan AP Sharael Taha bersama para penerima NICA, Cik Rasidah Causal dan Encik Abdul Rashid. (Gambar: MENDAKI)

(Encik Masagos dan AP Sharael Taha bersama para penerima NICA, Cik Rasidah Causal dan Encik Abdul Rashid. Gambar: MENDAKI)

Hampir 100 jurulatih di bawah NICA akan meraih manfaat daripada dana tersebut. Salah seorangnya ialah Encik Abdul Rashid Kadir yang sudahpun menjadi jurulatih bola sepak dan bola tchouk selama 12 tahun. Sejak pandemik melanda, aliran pendapatan keluarganya tersekat kerana beliau terpaksa berhenti melatih apabila sekolah-sekolah menghentikan kegiatan ko-kurikular (CCA).

Kini, meskipun sekolah sudah secara bertahap-tahap menyambung semula CCA, masa melatih dikurangkan demi mematuhi langkah pengurusan selamat sedia ada.

"Keluarga saya bergantung kepada isteri saya sebagai pencari nafkah utama dalam keluarga untuk menampung perbelanjaan harian serta perbelanjaan sekolah anak-anak kami," ujar Encik Abdul Rashid, 55 tahun.

"Saya gembira mendapat tahu tentang dana ini dan sumbangan daripada para AP Melayu. Saya berterima kasih atas segala sokongan yang diterima oleh jurulatih-jurulatih seperti saya. Ia tentunya akan membantu kami mengharungi tempoh mencabar ini," tambah bapa kepada dua orang anak itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan